KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan supaya tidak sekadar mengeluarkan kenyataan diplomatik rutin berhubung krisis Asia Barat sebaliknya tampil dengan pendekatan lebih agresif dan berani di pentas antarabangsa.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, konflik yang semakin meruncing itu bukan lagi isu luar yang jauh dari Malaysia tetapi mempunyai implikasi langsung terhadap keselamatan nasional dan kepentingan strategik negara.

Menurut beliau, beberapa cadangan komprehensif telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Malaysia memimpin inisiatif diplomatik lebih tersusun melalui platform serantau dan antarabangsa.

“Perkara ini melibatkan keselamatan negara. Malaysia mesti mengambil inisiatif diplomatik melalui ASEAN dan OIC serta memainkan peranan konstruktif sebagai suara keamanan dalam ASEAN, OIC dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), dengan menyeru gencatan senjata segera serta penyelesaian diplomatik,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di International Institute of Advanced Islamic Studies Malaysia (IAIS) hari ini bagi mengulas perkembangan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Hadir sama adalah Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Aktiviti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan.

Mohd Azmi turut mendesak agar Malaysia menggesa sidang tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain mengaktifkan mekanisme pencegahan menyeluruh bagi menghentikan eskalasi sebelum situasi menjadi tidak terkawal.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan kerajaan agar tidak memandang ringan aspek keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Asia Barat.

Katanya, pelan pemindahan kecemasan mesti jelas, praktikal dan boleh dilaksanakan segera, bukan sekadar dokumen atas kertas.

Beliau turut memberi amaran ketegangan geopolitik berpanjangan berpotensi mencetuskan lonjakan harga minyak dunia dan mengganggu rantaian bekalan global, sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi domestik.

“Kerajaan mesti bersedia dengan langkah mitigasi konkrit untuk melindungi rakyat daripada inflasi dan gangguan rantaian bekalan,” katanya.

Dalam nada tegas, beliau menegaskan, Malaysia mempunyai reputasi sebagai negara sederhana dan berprinsip dalam diplomasi antarabangsa, justeru tidak wajar sekadar menjadi pemerhati.

“Peperangan bukan penyelesaian. Ia hanya menambah penderitaan manusia, memperdalam ketidakstabilan dan merosakkan keamanan global. Dunia sudah melihat kesan perang berpanjangan di Asia Barat selama puluhan tahun. Satu lagi konflik besar tidak akan menjamin keamanan yang mampan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, sebarang bentuk perang dan campur tangan kuasa besar yang menggugat kestabilan Asia Barat mesti ditolak sepenuhnya susulan peningkatan ketegangan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

“Kami, wakil masyarakat sivil Malaysia, pemimpin komuniti, gerakan belia, badan profesional dan rakyat yang prihatin, mengeluarkan deklarasi ini sebagai respons terhadap pencerobohan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Republik Islam Iran serta peningkatan ketegangan berbahaya yang sedang berlaku di rantau ini.

“Kami menegaskan bahawa perang dan paksaan tidak boleh dinormalisasikan sebagai instrumen dasar luar. Nyawa orang awam mesti dilindungi sebagai tanggungjawab sejagat menurut undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast