KUALA LUMPUR – Isu kekuatan sokongan terhadap kerajaan kembali dipersoalkan apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun gagal meraih sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat hari ini.
Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, jumlah dua per tiga daripada 222 kerusi Parlimen ialah sekurang-kurangnya 147 ahli Parlimen.
Kata beliau, secara logiknya, jika benar 148 atau lebih Ahli Parlimen menyokong, mustahil RUU Pindaan Perlembagaan gagal hanya kerana pembangkang tidak menyokong.
Namun, beberapa faktor boleh mempengaruhi keputusan undian apabila angka “dua pertiga” mungkin sekadar angka atas kertas, bukan bilangan sebenar yang hadir semasa undian.
Katanya, ada Ahli Parlimen yang tidak hadir atau berkecuali daripada mengundi.
Atau ada yang secara lisan menyokong, tetapi tidak dalam pengundian.
Menurut beliau, kekuatan sebenar sokongan kerajaan ditentukan oleh undi di dalam Dewan Rakyat, bukan sekadar kenyataan di sidang media.
Jika bilangan undi mencukupi, maka dakwaan sokongan dua pertiga terbukti; seandai berlaku sebaliknya, angka itu mungkin belum kukuh.
“Matematik tidak pernah berbohong.
“Yang selalu berubah ialah manusia dan pendirian politik mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















