WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa operasi ketenteraan negara itu berjaya menenggelamkan sembilan buah kapal tentera laut Iran, yang sebahagian besarnya merupakan kapal penting.
Menerusi kenyataan di laman sosial medianya, Trump berkata, pihaknya sedang memburu kapal-kapal tentera laut Iran yang lain dan akan memastikan kapal itu tenggelam ke dasar laut tidak lama lagi.
Tambahnya, dalam serangan berasingan, ibu pejabat tentera laut Iran juga sebahagian besarnya telah berjaya dimusnahkan.
Semalam, Pengawal Revolusi Iran turut mendakwa telah menyerang kapal induk USS Abraham Lincoln di Teluk menggunakan empat peluru berpandu balistik, namun dinafikan Washington.
Sabtu lalu, AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang mengorbankan beberapa pemimpin tertinggi Iran termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran membalas dengan siri serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, aset AS, serta beberapa negara Teluk. – MalaysiaGazette















