Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

 

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menandakan `fasa baharu politik pembangkang’ perlu dilihat secara objektif dan rasional.

Menurut Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pertukaran individu tidak semestinya membawa perubahan dasar atau pendekatan.

Dalam masa sama, katanya, struktur parti, ideologi dan komposisi gabungan masih kekal sama, sekali gus mempersoalkan perubahan sebenar yang ditawarkan kepada rakyat.

“Oleh yang demikian, takkan PAS hanya nak mempertaruhkan title “Dr” utk cuci dosa tunggang dan mempergunakan agama demi mendapat sokongan pengundi atas pagar?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah yang menyifatkan pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN baharu sebagai langkah menyusun semula haluan gabungan itu menjelang fasa politik yang lebih mencabar.

Sementara itu, Shaiful Hazizy berkata, rakyat hari ini tidak lagi terpengaruh dengan penjenamaan semula atau naratif gelombang baharu.

Sebaliknya, ujar beliau, apa yang dinilai adalah rekod pentadbiran, kestabilan politik, kemampuan menarik pelaburan serta penyelesaian konkrit terhadap isu kos sara hidup dan peluang pekerjaan.

Tambahnya, perubahan sebenar bukan terletak pada individu, tetapi pada keupayaan melaksanakan dasar secara berkesan dan konsisten demi kepentingan rakyat.

Di Kedah khususnya, ujar beliau, rakyat memerlukan kestabilan dan hala tuju pembangunan yang jelas, bukan eksperimen politik atau percaturan kuasa dalaman.

Sehubungan itu, jelasnya, UMNO Kedah kekal konsisten menawarkan pendekatan berasaskan pengalaman, kestabilan dan pentadbiran inklusif untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Kesimpulannya, kalau kita nak beli sesuatu jangan terpedaya dengan “pembungkusannya”, ambik masa sikit utk tengok review ataupun kaji kualiti sebenar, jangan kita terpedaya dengan ulasan “kangkung” daripada seorang Profesor yang sudah kelam dan mabuk menjual agama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast