Individu yang ditahan dibawa ke Mahkamah Majistret berhubung kes mencuri kabel ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 3 MAC 2026.

SHAH ALAM – Seramai lima individu termasuk tiga wanita didenda selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencuri kabel di sekitar Shah Alam, baru-baru ini.

Kelima-lima individu itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.

Tiga daripada tertuduh iaitu Nurul Aleeya Aneesya Abd. Razak, 23; Nur Allysa Natasha Nor Azlan, 22, dan Nur Shasha Nabila Zamani, 28, didenda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayarnya.

Sementara itu, dua lagi tertuduh Mohammed Arif Sharif, 25, dan Mohamad Ridzwan Zainol Abidin, 26, didenda RM250 atau dua bulan penjara.

Berdasarkan pertuduhan, tiga wanita itu didakwa mencuri kabel milikan Telekom Malaysia (TM) di Seksyen 3, kira-kira pukul 5 pagi pada 20 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Sementara, Mohammed Arif dan Mohamad Ridzwan dituduh bersama-sama memiliki alat-alat kegiatan mencuri tanpa alasan munasabah.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM250 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 28 (i) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 bersama seorang penjamin dan tarikh jatuh hukum pada 28 April kepada Mohammed Arif dan Mohamad Ridzwan.

Ia susulan pengakuan bersalah kedua-duanya atas pertuduhan bersama-sama dengan niat mencuri soket dan kabel di dalam rumah peti milik TM kira-kira pukul 12.08 tengah malam, 1 Mac lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Selain itu Majistret, Ameera Mastura Khamis turut menetapkan 4 Mei depan dan membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 kepada L. Kelemen, 40, dan N. Tharumaraaj, 44, yang mengaku bersalah menghapuskan harta curi iaitu kabel TM, di Persiaran Pulai Timur 8 Chandan Desa, Kampung Kepayang, Ipoh, Perak pada pukul 3 petang 26 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari, Muaz Khawarizmi Azfar dan Nurul Akhilah Rosmi.

Pembelaan pula diwakili oleh Muhamad Saifullah Muhamad Azmi, M. Partiben selain Amirah Nashaida daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sebagai rekod, kegiatan sindiket curi kabel yang berselindung di sebalik pakaian pekerja syarikat telekomunikasi terbongkar menerusi video yang tular di media sosial, baru-baru ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast