Anwar Ibrahim ditemani Nga Kor Ming bersama-sama warga KPKT ketika mendengar tazkirah Program Ihya’ Ramadan KPKT.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini menganjurkan Program Ihya’ Ramadan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program yang berlangsung di KPKT ini merupakan antara inisiatif utama kementerian dalam mengimarahkan bulan Ramadan melalui program-program kerohanian yang dapat memperkukuh kefahaman serta penghayatan ibadah sepanjang bulan suci ini.

Anwar bersama-sama pengurusan tertinggi dan warga KPKT mendengar tazkirah khas bertajuk “Ramadan Membina Perpaduandan Kasih Sayang” yang disampaikan oleh PU Riz selaku penceramah jemputan.

Turut serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Tazkirah tersebut menekankan ibadat puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, malah madrasah untuk menyemai benih kasih sayang serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama selaras dengan prinsip Malaysia Madani.

Seusai sesi tazkirah, Perdana Menteri bersama warga KPKT telah menunaikan solat Zohor secara berjemaah yang diimamkan oleh Penguasa Bomba, Luqman Ramli yang merupakan pegawai yang bertugas di Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sebelum menyertai Program Ihya’ Ramadan, Anwar telah mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KPKT dan diberikan Taklimat K.H.A.S (Keutamaan Insan, Hasil Pantas, Anjakan BerimpakTinggi, Sistematik) oleh Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

K.H.A.S merupakan sebuah pelaksanaan dasar-dasar kementerian yang mengutamakan keperluan rakyat, memacu penyampaian perkhidmatan yang pantas, melaksanakan perubahan struktur berimpak besar dan memastikan tadbir urus yang telus serta sistematik.

“K.H.A.S merupakan cara KPKT menterjemahkan roh Malaysia MADANI dalam tindakan harian iaitu rakyat diutamakan, hasil disegerakan, impak diperbesar dan pelaksanaan diperkemas. Melalui kerangka ini, KPKT komited untuk melaksanakan
reformasi yang akan memberi manfaat langsung rakyat,” kata Kor Ming. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast