SHAH ALAM – Empat lelaki termasuk remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri tabung Masjid Seksyen 7 di sini, pada 22 Febuari lalu.
Tertuduh, K. Tineshuaran (26); R. Nishanraj (22); SR Danesh (27) dan remaja berkenaan membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman.
Susulan pengakuan itu, tiga daripada empat tertuduh dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM4,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Sementara itu, hukuman ke atas remaja tersebut akan dimuktamadkan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengemukakan laporan akhlak pada 28 April ini.
Remaja terbabit turut dibenar ikat jamin sebanyak RM1,500.
Terdahulu, berdasarkan kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh pada pukul 4 pagi di dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat beribadah telah didapati mencuri tabung kepunyaan masjid tersebut bernilai RM2,000.
Keempat-empat mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar, manakala kesemua tertuduh diwakili oleh Swinder Singh dan Ashrul Haikal.
Dalam pada itu, peguam membuat permohonan penangguhan hukuman ketiga-tiga pesalah itu sebelum mengemukakan rayuan pengurangan hukuman di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, Majistret menolak permohonan berkenaan kerana mendapati ia tidak mempunyai asas. – MalaysiaGazette
















