Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan sesekali bertolak ansur dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam, khususnya terhadap kita suci al-Quran

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, negara ini adalah negara hukum yang ditadbir berpaksikan oleh undang-undang.

Oleh itu, keadilan dituntut menerusi proses pengadilan yang telus, bukannya penghukuman tanpa usul periksa.

Mengulas isu penghinaan al-Quran melibatkan seorang mahasiswa, beliau berkata, individu berkenaan telah ditahan oleh pihak polis pada 25 Februari 2026, sehari selepas kejadian diketahui umum dan tindakan serta-merta telah diambil.

Individu tersebut juga telah didakwa di mahkamah hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memandang serius penyebaran fitnah yang berniat jahat, tohmahan, dan rujukan palsu yang sengaja disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tindakan ini secara jelas bertujuan untuk memburukkan usaha-usaha kerajaan dan menggugat ketenteraman awam dengan mencampuradukkan isu-isu yang berbeza, tambah Tunku Nashru.

Justeru, Pejabat Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat agar merujuk sumber benar dan boleh dipercayai sebelum berkongsi sebarang maklumat; tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk menyebarkan tohmahan yang tidak disokong fakta; memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan dengan adil dan telus; serta tidak memperalat kesucian agama bagi kepentingan politik kepartian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast