KUALA LUMPUR – Kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat mendedahkan realiti jelas iaitu wujud sikap tidak konsisten dalam kalangan pembangkang yang menghalang kemajuan reformasi institusi.
Sedangkan, menurut Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Wan Anwar Wan Ibrahim, cadangan itu adalah satu reformasi besar yang bertujuan memodenkan sistem politik negara serta memperkukuh prinsip semak dan imbang.
Menurutnya, sebelum ini, pembangkang lantang bercakap mengenai keperluan pembaharuan, integriti dan pencegahan penumpuan kuasa.
Namun, ujarnya, apabila peluang sebenar untuk mengehadkan kuasa eksekutif dibentangkan di Parlimen, sebahagian mereka memilih untuk berkecuali, tidak hadir atau meletakkan syarat politik yang tidak berkaitan dengan pindaan tersebut.
“Ini bukan pendirian prinsip, malah ini adalah percaturan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau menyelar pihak yang mendakwa kononnya RUU tersebut menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang disifatkan hujah mengelirukan.
Ini kerana, jelasnya, kuasa melantik Perdana Menteri kekal di bawah prerogatif Seri Paduka Baginda, manakala sokongan majoriti Dewan Rakyat tetap menjadi asas legitimasi kerajaan.
“Had tempoh hanya memastikan jawatan tertinggi eksekutif tidak dipegang tanpa batas masa yang mana selaras dengan amalan demokrasi matang di banyak negara,” katanya.
Tambahnya, Malaysia tidak boleh terus terperangkap dalam politik lama yang mempertahankan struktur usang demi kepentingan jangka pendek.
Sebaliknya, kata beliau, negara memerlukan sistem politik yang lebih telus, bertanggungjawab dan dinamik.
Jelasnya, tindakan menghalang reformasi bermakna mengekalkan sistem yang membenarkan penumpuan kuasa tanpa had, dan itu bukan masa depan yang dimahukan rakyat.
“Reformasi memerlukan keberanian dan kejujuran.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan kesediaan untuk membataskan kuasa jawatan yang sedang beliau pegang yakni satu langkah yang jarang berlaku dalam politik negara.
“Ini adalah mesej jelas bahawa sistem perlu lebih kuat daripada individu,” katanya. – MalaysiaGazette
















