MELAKA – Sebuah hotel terkenal di negeri ini menampilkan keunikan pada bufet Ramadan apabila turut menghidupkan babak
’40 Penyamun’ dalam filem Ali Baba Bujang Lapok arahan seniman agung Tan Sri P. Ramlee selain lebih 200 hidangan ditawarkan.
Pengarah Makanan dan Minuman Ames Hotel, Ahmad Rafiq Mohamed Ismail berkata, idea berkenaan tercetus untuk memberikan kelainan memandangkan kebanyakan bufet Ramadan menawarkan konsep hampir sama saban tahun.

Malah menurutnya, muzik yang dimainkan juga adalah daripada filem klasik seniman agung itu selain ketua jabatan (HOD) termasuk cef dan pekerja pengemasan melakonkan semula karakter 40 penyamun selepas waktu berbuka puasa.
“Inilah kelainan yang kita cuba bawakan sesuai dengan tema bufet, ‘Ramadhan Oh Ramadan Memori Klasik, Selera Tak Lapok’
yang membawakan tradisi dan nostalgia era Tan Sri P. Ramlee.
“Persembahan selama 10 minit bermula jam 8.15 malam dengan suasana yang berbeza sebagai tanda menghargai pelanggan selepas menikmati kira-kira 200 hidangan ditawarkan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini maklum balas diterima pelanggan amat positif sehinggakan mereka akan turut serta menyanyi dan bergambar bersama watak-watak dibawa.
Ahmad Rafiq berkata, lakonan semula itu juga membuka ruang perbualan antara ibu bapa dan anak-anak mengenai filem klasik Melayu Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang sentiasa segar di hati masyarakat.
“Bila anak-anak tanya tentang watak atau babak yang kami lakonkan, di situlah ibu bapa boleh berkongsi cerita dan diharapkan nostalgia itu terus hidup, tidak hilang ditelan zaman.

Menyentuh mengenai bufet berkenaan, terdapat lebih 200 jenis menu disediakan dengan tiga pusingan sajian utama termasuk nasi briyani rusa, nasi briyani burung puyuh dan nasi briyani ketam selain kambing golek.
“Harga yang ditawarkan ialah RM138 bagi dewasa, RM98 untuk warga emas serta RM49 bagi kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU). Tempahan sehingga 20 Mac ini boleh dibuat dengan menghubungi talian 012-698 2957,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ames Hotel turut mencatat satu lagi pencapaian apabila dianugerahkan pensijilan BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 16 Februari lalu.

Pensijilan itu diberikan kepada premis makanan yang memenuhi piawaian ketat dari segi kebersihan, keselamatan dan pematuhan kualiti makanan.
Ia sekali gus mencerminkan komitmen berterusan hotel berkenaan dalam memastikan standard tertinggi penyediaan, pengendalian dan perkhidmatan makanan. – MalaysiaGazette
















