Naib Canselor UMPSA, Prof Dr. Yatimah Alias Ketika sidang media di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) selesai menjalankan siasatan terhadap pelajarnya yang didakwa melakukan hantaran menghina Islam baru-baru ini.

Naib Canselor UMPSA, Prof Dr. Yatimah Alias berkata, pihaknya akan menyerahkan laporan jawatankuasa tatatertib kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) minggu depan.

Beliau berkata, keputusan mengenai hukuman yang akan dikenakan kelak akan dimaklumkan pihak KPT.

“UMPSA telah selesai menjalankan siasatan terhadap pelajar dan sedang dalam proses pendakwaan. Proses tatatertib dijalankan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tatatertib Pelajar) 2024.

“Jka sabit kesalahan, pelajar boleh dihukum sehingga membawa kepada hukuman dibuang daripada universiti merujuk Kaedah 58 Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tatatertib Pelajar) 2024,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau menegaskan, UMPSA tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan yang menghasut kebencian melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam.

Semalam, seorang pelajar UMPSA didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan iaitu memijak naskhah al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial, sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat.

Tertuduh, S. Vikneswaran, 21, bagaimanapun tidak mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Harmi Thamri Mohammad.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan kes dan pemuda itu dibenarkan dijamin RM10,000 serta melapor diri di Balai Polis Jaya Gading setiap bulan sehingga perbicaraan kes selesai. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pelajar IPT didakwa pijak al-Quran mengaku tak bersalah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast