Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) anjuran Agensi Kawalan Sempadan Negara (AKPS) di Auditorium Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mempercepat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi melonjakkan produktiviti, meningkatkan kecekapan kerja serta memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, teknologi AI kini menjadi alat penting dalam membantu organisasi kerajaan berfikir lebih ke hadapan selain memperkemas kecekapan pentadbiran.

Menurut beliau, keupayaan AI menganalisis sejumlah besar maklumat dalam tempoh singkat termasuk jurnal, buku serta pelbagai penerbitan menjadikannya antara teknologi yang mampu mempercepat proses kerja selain membantu menyediakan penulisan atau draf dokumen dengan pantas.

Tambahnya, teknologi AI generatif yang kini semakin mendapat perhatian dunia masih berada pada peringkat awal perkembangan, sekali gus memberi ruang kepada Malaysia untuk mengejar kemajuan dalam bidang tersebut.

“AI generatif ini sebenarnya masih baharu sekitar dua hingga tiga tahun sahaja berkembang secara pesat. Jadi kita masih belum terlalu jauh ketinggalan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail serta Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

Saifuddin Nasution berkata, penggunaan AI kini bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan baharu dalam pentadbiran moden, justeru KDN telah memulakan langkah awal menerusi inisiatif “AI for KDN, KDN for AI” sejak dua tahun lalu.

Beliau turut menggesa supaya latihan berkaitan teknologi tersebut dipertingkatkan termasuk menghantar pegawai mengikuti kursus di universiti tempatan bagi memperkukuh kefahaman terhadap asas serta potensi AI.

Menurutnya, beberapa agensi di bawah kementerian termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mula memanfaatkan teknologi itu dalam operasi harian mereka.

Antara contoh penggunaan AI ialah sistem pengecaman wajah yang membolehkan proses pergerakan di pintu masuk negara dipermudah tanpa memerlukan cop pasport secara manual.

“Jika teknologi ini dimanfaatkan sepenuhnya, hasil kerja akan menjadi lebih cepat, produktiviti meningkat dan sistem penyampaian kepada rakyat akan menjadi lebih baik,” katanya.

Selain itu, katanya teknologi berkenaan juga boleh dimanfaatkan dalam pembangunan sistem serta membantu menyediakan draf awal laporan siasatan atau analisis logistik sebelum dimuktamadkan oleh pegawai bertanggungjawab. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast