KUALA LUMPUR – Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, dua anaknya dan peguam memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua yang lain berhubung siasatan terhadap mereka berkaitan dakwaan menggulingkan kerajaan.
Selain Na’imah, dua anaknya ialah Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta dua peguam mereka Amir Zharif Abdullah dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.
Keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu dan peguam mereka selaku plaintif menamakan Anwar, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas) di sini hari ini melalui peguam mereka, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal.
Plaintif memohon perisytiharan bahawa siasatan yang dimulakan oleh Mohd Khalid dan kerajaan terhadap mereka di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan menurut laporan polis bertarikh 26 Februari lalu, adalah menyalahi undang-undang dan tidak berasas.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa ia tidak berperlembagaan, berniat jahat dan dilaksanakan untuk tujuan tersembunyi serta merupakan penyalahgunaan kuasa statutori.
Sementara itu, Rajesh dan Sachpreetraj dalam kenyataan berkata, saman tersebut difailkan atas isu kepentingan awam bertujuan mencabar penyalahgunaan kuasa dan menghentikan dakwaan palsu ‘komplot Zionis’ untuk menggulingkan kerajaan, yang kini dijaja kepada rakyat negara ini.
Dalam saman pemula itu, plaintif memohon satu perisytiharan bahawa Seksyen 124B Kanun yang bertujuan melarang`aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen’, adalah tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah.
Ini kerana seksyen berkenaan samar-samar dan/atau terlalu luas dan/atau taksa (ambiguous) dan/atau tidak seimbang dalam skopnya dan oleh itu melanggar Perkara 5 dan/atau 8 dan/atau 10 Perlembagaan Persekutuan.
Turut dipohon, perisytiharan bahawa kemasukan Seksyen 124B Kanun dalam Jadual Pertama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 adalah menyalahi undang-undang dan/atau tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah.
Mereka turut memohon perisytiharan bahawa tindakan dan tingkah laku defendan dua dan ketiga dalam memulakan dan/atau meneruskan siasatan adalah melanggar kebebasan asasi plaintif yang dijamin di bawah Perkara 5 dan/atau 8 dan/atau 10 Perlembagaan.
Selain itu, mereka turut memohon perisytiharan bahawa tindakan dan tingkah laku defendan kedua dan ketiga dalam memulakan dan/atau meneruskan siasatan tersebut terhadap plaintif keempat dan kelima dalam kapasiti mereka sebagai peguambela dan peguamcara adalah melanggar hak istimewa perlindungan profesional peguam dan anakguam menurut Akta Keterangan 1950 dan Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan/atau Kanun Prosedur Jenayah.
Turut dipohon, perintah interim bahawa defendan kedua dan ketiga sama ada secara sendiri dan/atau melalui pegawai atau ejen mereka, adalah dihalang daripada menggunakan dan/atau memberi kesan kepada mana-mana peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 untuk memudahcara siasatan di bawah Seksyen 124B terhadap plaintif sementara menunggu penentuan persoalan-persoalan perlembagaan yang dibangkitkan. – MalaysiaGazette
















