Datuk Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Langkah membuka ruang penyatuan kepada mana-mana bekas ahli yang pernah digantung atau dipecat untuk kembali bersama perjuangan UMNO mencerminkan kematangan dan keterbukaan parti itu yang sentiasa mengutamakan perpaduan.

Apatah lagi, menurut Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah, seruan itu dibuat dalam semangat bulan Ramadan yang mengajak kepada muhasabah, memperbaiki hubungan serta memperkukuh ukhuwah sesama insan.

Kata beliau, pada hakikatnya, kekuatan UMNO tidak hanya terletak pada struktur organisasi semata-mata, tetapi juga pada kebersamaan, kesetiaan dan semangat perjuangan seluruh ahli di setiap peringkat.

Sehubungan itu, tambahnya, usaha membuka pintu penyatuan tersebut adalah langkah penting untuk memperkukuh kembali keluarga besar UMNO demi kelangsungan perjuangan parti.

“Saya melihat inisiatif ini sebagai satu pendekatan yang matang dan berpandangan jauh dalam memastikan UMNO terus relevan serta mampu menghadapi cabaran politik semasa.

“Dalam politik, perbezaan pandangan dan episod lalu adalah perkara yang lumrah, namun yang lebih penting ialah keupayaan kita untuk kembali bersatu atas dasar perjuangan yang sama,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Shahar yang juga Timbalan Menteri Ekonomi menyeru semua pihak menyambut baik peluang tersebut dengan hati terbuka serta meletakkan kepentingan parti mengatasi perbezaan yang pernah berlaku.

Katanya, penyatuan itu bukan sahaja penting untuk menguatkan UMNO, tetapi juga untuk memastikan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air terus dipertahankan.

“Semoga usaha murni ini menjadi titik permulaan kepada pengukuhan semula UMNO sebagai sebuah keluarga besar yang lebih kuat, lebih matang dan lebih bersatu dalam menghadapi masa depan,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama.

Katanya, sempena keberkatan bulan Ramadan, UMNO melihat tempoh ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan semula tali perjuangan dalam kalangan ahlinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast