KUALA LUMPUR – Mekanisme semak imbang yang lebih kukuh diperlukan dalam memastikan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus terpelihara dan dalam masa sama keyakinan rakyat terhadap usaha memerangi rasuah kekal terjamin.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, antara langkah konstruktif yang boleh dilakukan adalah mengukuhkan pengawasan Parlimen terhadap SPRM.
Jelas beliau, langkah tersebut bukanlah satu serangan terhadap usaha suruhanjaya itu membanteras rasuah, sebaliknya ia adalah penyempurnaan kepada usaha berkenaan.
“Laporan berkala kepada Parlimen membolehkan wakil rakyat menilai kerja Suruhanjaya manakala badan-badan seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang khusus boleh meneliti dasar, prosedur, dan keputusan penguatkuasaan.
“Pengawasan sedemikian tidak akan mengganggu siasatan, sebaliknya ia membantu memastikan undang-undang yang mentadbir SPRM berkembang selaras dengan tahap ketelusan dan keyakinan awam yang lebih tinggi.
“Saya telah berulang kali membangkitkan risiko sistemik yang timbul daripada kebimbangan sebegini, dan akan terus menyokong usaha untuk menanganinya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nurul Izzah berkata, kuasa yang diperuntukkan kepada SPRM di bawah akta sedia ada sepatutnya menjadi senjata memerangi rasuah, namun dalam keadaan tertentu ia boleh mewujudkan persepsi bahawa seseorang individu diperlakukan seolah-olah bersalah hanya kerana terbabit dalam persaingan politik atau berani bersuara.
Katanya, apabila penguatkuasaan dilihat berlebihan, tidak telus atau bersifat intimidasi, keadaan itu boleh melemahkan prinsip demokrasi.
“Mungkin terdapat asas yang sah bagi sesuatu siasatan dijalankan, termasuk berkaitan perjanjian bernilai RM1.1 bilion antara kerajaan dan ARM Holdings, selain usaha menjejak serta mendapatkan semula dana yang diperoleh secara tidak sah bagi memulihkan tabung negara.
“Namun, cara pengendalian sesetengah siasatan yang dijalankan secara keras, termasuk pendedahan serta penyebaran alamat kediaman peribadi sehingga menjadi tontonan umum walaupun dikatakan sebahagian daripada prosedur operasi standard, perlu memenuhi tahap kebertanggungjawaban yang lebih tinggi,” katanya.
Nurul Izzah menegaskan pendekatan sedemikian perlu mencerminkan keseimbangan, perkadaran, hormat terhadap privasi dan tanggungjawab institusi.
Katanya, tiada sesiapa kebal daripada penelitian undang-undang, namun apabila melibatkan dana awam besar, rakyat berhak mengetahui siapa menjejaki wang berkenaan serta siapa yang memastikan pihak menjalankan siasatan turut dipertanggungjawabkan.
“Kredibiliti usaha memerangi rasuah bergantung kepada kepercayaan awam yang hanya akan terpelihara sekiranya institusi dilihat bertindak secara adil, bertanggungjawab dan telus,” katanya.
Nurul Izzah turut menyentuh dakwaan mengenai kewujudan `mafia korporat’ yang menjadi perbualan umum, termasuk persoalan berkaitan pegangan saham peribadi ketua pesuruhjaya SPRM serta potensi konflik kepentingan yang menurutnya memerlukan jawapan telus.
Katanya, dakwaan yang tidak dijawab dengan sewajarnya boleh mewujudkan jurang kredibiliti yang akhirnya menggugat usaha nasional dalam memerangi rasuah.
Justeru, beliau menegaskan institusi kerajaan harus sentiasa membuktikan bahawa mereka berkhidmat demi kepentingan seluruh rakyat dan negara, bukan untuk segelintir individu atau kelompok tertentu.
“Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan kekal sebagai tonggak utama demi memastikan kejayaan pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan.
“Melakukan perkara yang betul sahaja tidak memadai, namun, kerajaan juga mesti dilihat dan diyakini oleh rakyat sebagai melakukan perkara yang betul,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















