Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii bercakap pada sidang media selepas selesai Program Sinar Ramadan di Masjid Ma'Muniah, Sungai Besar, Sabak Bernam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 MAC 2026

SABAK BERNAM – Pembentukan Gagasan Rumah Bangsa anjuran UMNO bukan sahaja bertujuan untuk menyatupadukan semua pemimpin parti politik Melayu, Bumiputera dan Islam, bahkan untuk menjadikannya kembali dominan di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, usaha itu untuk memastikan orang Melayu dan Islam kembali berkuasa dan menerajui negara, selaras dengan populasinya lebih 60 peratus di negara ini.

“Ya, kita bukan comeback. Sebenarnya kuasa Melayu ini kita perlu letakkan di dalam kuasa yang mutlak di dalam Malaysia ini.

“Kalau bukan UMNO, siapa lagi? Kalau kita boleh menyatukan parti-parti Melayu yang besar, kita boleh mendominasi semula kuasa di dalam negara kita.

“Insya-Allah kita boleh mendominasi balik. Itu adalah hajat kita untuk kekalkan kuasa Melayu di dalam negara kita,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Sinar Ramadan 2026 Penukaran al-Quran Lama ke Baharu, Agihan Kuih Raya dan Bubur Lambuk di Masjid Ma’muniah, Simpang Lima, di sini, hari ini.

Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii (tengah) bersama Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Melayu (Wawasanita), Datin Dr Norli @ Norlaili Alias (kanan) dan Penyelaras Dewan Negeri Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin meneliti Al-Quran lama yang akan digantikan dengan Al-Quran baharu pada Program Sinar Ramadan di Masjid Ma’muniah, Sungai Besar, Sabak Bernam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 Mac 2026.

Turut hadir Penyelaras Dewan Negeri Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Melayu (Wawasanita), Datin Dr Norli@Norlaili Alias.

Terdahulu, lapan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera menyertai Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn pada Jumaat.

Selain UMNO, turut hadir ialah wakil Pas, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Selain itu, Razlan juga berkata, keterbukaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengalu-alukan bukan sahaja bekas ahli parti itu bahkan semua pihak memberikan satu isyarat bahawa perpecahan Melayu sangat membimbang.

“Kita tahu ancaman kita di dalam negara adalah perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

“Walaupun orang Melayu dan Islam kita ini hanya 60 peratus, janganlah kita anggap jumlah itu ramai. Bila-bila masa saja kita boleh hilang kuasa kalau kita tak tengok betul-betul.

“Bangsa lain tiada isu tentang perpecahan. Sebab mereka tahu dengan kecil itu apabila mereka bersatu mereka boleh menentukan halu tuju dan dasar yang mereka nak bawa,” katanya.

Razlan mengingatkan pemimpin Melayu agar tidak terlalu selesa dengan populasi majoriti yang dimiliki dan mengambil iktibar daripada perpecahan pribumi di negara lain.

“Banyak saja contoh di negara luar, apabila pribumi itu berpecah, kuasa politik itu diletakkan di dalam bangsa lain. Jadi janganlah kita amalkan perkara ini dan sambut baiklah amanat-amanat Presiden UMNO itu.

“Jangan ada sinikal, jangan ada dalam hati itu ada ibarat, ada muslihat lain. Bagi pandangan saya, perjuangan orang Melayu di dalam negara ini umpama telur di hujung tanduk.

“Kita gembar-gemburkan, kita mempunyai kuasa besar, tetapi kalau kita berpecah dengan kuasa Sarawak dan Sabah, hanya Tanah Melayu sahaja, kita tinggal berapa sikit saja. Jadi jangan pandang entenglah perkara ini,” katanya.

Katanya lagi, orang Melayu boleh kembali menguasai negara ini seperti mana ketika menumbangkan Malayan Union.

“Untuk PRU16 ini, kalau kita tak lihat betul-betul, kita mungkin hilang kuasa. Jadi sambut perkara ini dengan baik. Jom sertai Rumah Bangsa untuk satukan orang Melayu.

“Kalau dulu kita boleh kalahkan Malayan Union, walaupun sekarang tanpa senapang. Takkan kita tak boleh buat sekarang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast