Keadaan pikap yang remuk dirempuh sebuah bas di KM14, Jalan Pekan-Kuantan, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang penumpang sebuah pikap maut manakala pemandu dan penumpang bahagian depan kenderaan itu cedera selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di KM14, Jalan Pekan-Kuantan, awal pagi tadi.

Nahas itu turut mencederakan seorang penumpang bas.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Zaidi Mat Zin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 1.15 pagi apabila pikap yang dipandu oleh seorang tentera dirempuh sebuah bas dari arah belakang lorong sama semasa berhenti di lampu isyarat.

Bagaimanapun, bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kota Bharu, Kelantan bersama 24 penumpang tidak memberhentikan kenderaan sebaik tiba di persimpangan itu lalu merempuh bahagian belakang pikap terbabit.

Semasa kejadian pikap berkenaan dari arah Pulau Serai, Pekan menghala ke Kuantan.

Bas yang terlibat dalam kemalangan di KM14, Jalan Pekan-Kuantan, pagi tadi.

Kejadian itu menyebabkan mangsa yang duduk di belakang pikap tersepit meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Hosneeamree, seorang warga Thailand dan pekerja buruh.

Pemandu dan penumpang pikap yang cedera dikejarkan ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan lanjut.

Kes disiasat di Bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast