JOHOR BAHRU – Seramai 288 amil harta serta 1,660 amil fitrah bertauliah yang dilantik di negeri ini bagi membantu urusan kutipan zakat secara sah dan teratur.
Timbalan Mufti Negeri Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed berkata, semua pembayaran zakat perlu dilakukan menerusi amil-amil berkenaan kerana mereka dilantik secara sah.
Masyarakat katanya, dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang mengaku sebagai amil zakat tanpa pengesahan yang sah.
“Umat Islam dinasihatkan supaya pastikan bayaran zakat dibuat hanya kepada amil yang bertauliah serta dilantik secara rasmi, atau menerusi saluran rasmi yang disediakan pihak berkuasa zakat negeri, iaitu Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).
“Sekiranya terdapat individu yang meminta bayaran zakat secara meragukan, masyarakat digalakkan untuk menyemak terlebih dahulu kesahihannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima bayaran zakat perniagaan RM83,120 disampaikan Pemilik Kopi Tenggek Tanjung Piai Ghazaley Ayiub Cawangan Larkin di sini, hari ini.
Hadir sama, Amil Zakat MAIJ, Muhammad Ismail Sajiman.
Katanya, masyarakat juga boleh terus membuat bayaran di kaunter rasmi, menerusi amil yang dikenali atau platform pembayaran zakat yang sah.
Langkah itu katanya, penting bagi memastikan zakat yang ditunaikan sampai kepada golongan asnaf yang berhak.
“Ini juga bagi mengelakkan sebarang unsur penipuan yang boleh menjejaskan amanah ibadah zakat,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Ismail berkata, rutin perniagaan yang padat tidak seharusnya menjadi halangan bagi seseorang ahli perniagaan bagi membuat pembayaran zakat.
Menurutnya, bagi memudahkan pihak berkenaan, MAIJ sanggup mengunjungi premis perniagaan dalam usaha memastikan pelaksanaan pembayaran zakat lebih lancar serta teratur dalam usaha menambah keberkatan dalam perniagaan.
“Kami yakin ramai lagi ahli perniagaan yang kesuntukan masa bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing dan kami sebagai amil bertauliah bersedia melancarkan urusan.
“Mereka boleh menghubungi saya di talian 018-226 1642 atau pejabat MAIJ berhampiran di seluruh daerah bagi mendapatkan maklumat berkaitan proses pembayaran zakat,” katanya.- MalaysiaGazette
















