Noraini menyampaikan bakul makanan kepada asnaf dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi di Hotel Katerina, Batu Pahat malam tadi.

 

BATU PAHAT – Kerajaan meningkatkan peruntukan pembangunan industri lada negara sebanyak 114 peratus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), daripada RM21.4 juta sebelum ini kepada RM45.8 juta bermula tahun ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, peningkatan ketara itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap potensi industri lada sebagai subsektor pertanian bernilai tinggi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Langkah ini juga bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti pekebun kecil yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan industri berkenaan.

“Peruntukan sebanyak RM45.8 juta ini akan digunakan bagi melaksanakan 10 projek pembangunan strategik yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri lada, daripada sektor huluan sehingga ke sektor hiliran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi di Hotel Katerina di sini malam tadi.

Katanya, projek berkenaan merangkumi pembangunan sektor huluan seperti penanaman, peningkatan produktiviti dan pengurusan ladang selain pembangunan sektor hiliran termasuk pemprosesan, inovasi produk serta pengembangan pasaran.

Menurut Noraini, peningkatan peruntukan itu dijangka memberi manfaat secara langsung kepada pekebun kecil melalui pelbagai inisiatif pembangunan industri lada.

Antara inisiatif tersebut termasuk meningkatkan produktiviti kebun lada melalui bantuan pembangunan kawasan tanaman baharu serta pengurusan kebun lada matang, katanya.

Selain itu ujar beliau, pekebun kecil juga akan mendapat akses kepada teknologi dan amalan pertanian moden termasuk penggunaan aplikasi digital serta kaedah pengurusan tanaman yang lebih efisien.

Beliau berkata, langkah itu turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos pengeluaran melalui pembangunan input alternatif serta penyediaan sokongan teknikal kepada pekebun.

Dalam masa sama katanya, usaha pengembangan industri hiliran dan pembangunan produk bernilai tambah berasaskan lada dijangka membuka peluang peningkatan pendapatan kepada pekebun kecil.

“Pendekatan ini juga mampu mewujudkan peluang keusahawanan kepada usahawan kecil dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya dalam pemprosesan serta pemasaran produk lada,” katanya.

Melalui pendekatan pembangunan yang lebih menyeluruh ujanya, kerajaan menyasarkan industri lada Malaysia menjadi lebih moden, berdaya tahan serta mampu bersaing di peringkat global.

Tambahnya, langkah tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan industri komoditi negara sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast