KUALA LUMPUR – Kerja-kerja baik pulih bekalan kuasa di Laluan Putrajaya telah selesai sepenuhnya dan perkhidmatan tren telah kembali beroperasi seperti biasa pada pagi ini.
Menurut Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), gangguan perkhidmatan yang berlaku 3 Mac lalu itu berpunca daripada kejadian kecurian kabel bekalan kuasa berhampiran Stesen Damansara Damai yang turut menjejaskan ramai penumpang perkhidmatan Laluan Putrajaya.
“Sehubungan itu, perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma yang sebelum ini disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan sepanjang tempoh gangguan turut ditamatkan,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, susulan kejadian tersebut, laporan polis dan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Di samping itu, pemantauan keselamatan di kawasan landasan dan fasiliti operasi turut dipertingkatkan melalui rondaan berterusan oleh pasukan polis bantuan bagi memastikan keselamatan infrastruktur serta kelancaran perkhidmatan.
Terdahulu, menurutnya, sepanjang gangguan berlaku, Rapid Rail telah menempatkan hampir 180 kakitangan tambahan di stesen-stesen yang terlibat.
Dalam masa yang sama, sebanyak 20 buah bas perantara percuma bagi membawa penumpang yang terjejas meneruskan perjalanan ke destinasi mereka.-MalaysiaGazette
















