PUTRAJAYA – Tempoh permohonan kemasukan pelajar bagi Sesi Akademik 2026/2027 melalui UPUOnline untuk lepasan SPM dilanjutkan sehingga 12 April ini.
Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA memaklumkan, permohonan yang dibuka sejak 29 Januari lalu sepatutnya ditutup pada 23 Mac, namun dilanjutkan susulan pengumuman tarikh keputusan peperiksaan SPM 2025 oleh Kementerian Pendidikan.
Bagaimanapun, tarikh tutup permohonan bagi Fasa Pertama lepasan STPM atau setaraf kekal pada 23 Mac.
Menurut kenyataan itu, calon lepasan SPM yang masih belum membuat permohonan boleh membeli nombor pin UPUOnline melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) pada harga RM10.60 termasuk caj perkhidmatan.
Pembelian nombor pin boleh dibuat melalui kaunter cawangan BSN, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau perbankan internet myBSN.
Sebanyak 363 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM manakala 1,146 program pengajian disediakan bagi lepasan STPM atau setaraf melibatkan Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti serta institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi.
Calon dinasihatkan melengkapkan permohonan lebih awal bagi mengelakkan sebarang gangguan atau kesesakan trafik pada sistem UPUOnline. – MalaysiaGazette
















