KUALA LUMPUR – Seramai 3,300 golongan penerima asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima bantuan tunai sebanyak RM200 setiap seorang menerusi Program Nur Ramadan yang diadakan di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sumbangan berkenaan disalurkan melalui peruntukan zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan kerjasama di antara kerajaan dan masyarakat demi kesejahteraan komuniti.
“Program ini dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis
Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Walaupun jumlah sumbangan mungkin sederhana, kita berharap bantuan ini dapat membantu meringankan beban keluarga khususnya sepanjang bulan Ramadan dan dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 di sini hari ini.
Tambah Hannah, sebagai sokongan kepada usaha kebajikan komuniti, pihaknya turut menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM5,000 kepada Masjid Wilayah Persekutuan, Sekolah Rendah Agama Ibnu Kathir dan Madrasah Manbaul Uloom.
“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu memperkukuhkan lagi usaha kebajikan dan pembangunan komuniti yang dilaksanakan oleh institusi-institusi ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















