JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu tangani segera isu lambakan di negeri ini yang didakwa semakin tidak terkawal sehingga memberi kesan terhadap peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial dan tahap keselamatan di beberapa kawasan.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, perkembangan tersebut menimbulkan kebimbangan rakyat tempatan malah kini dilihat sebagai satu bentuk ancaman.
Beliau pada masa sama akui Johor sebagai sebuah negeri yang pesat membangun dan menjadi pintu masuk utama negara melalui sempadan antarabangsa memerlukan tenaga kerja asing dalam sektor tertentu.
Namun begitu ujar beliau, pengurusan kemasukan dan penempatan warga asing perlu dilaksanakan secara lebih tersusun dan berhemah supaya tidak menjejaskan keseimbangan sosial serta kepentingan rakyat tempatan.
“Lambakan warga asing tanpa kawalan yang jelas juga boleh menyebabkan tekanan terhadap kemudahan awam, sistem perumahan serta peluang pekerjaan bagi rakyat negeri Johor.
“Sehubungan itu, Pejuang Johor menggesa kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan agar mengambil langkah yang lebih tegas dan proaktif dalam menangani isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antaranya termasuk memperketatkan penguatkuasaan terhadap kemasukan pekerja asing serta mempergiatkan operasi bersepadu secara berkala bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kerajaan juga katanya, perlu mewujudkan satu pangkalan data bersepadu antara agensi kerajaan bagi memantau jumlah sebenar pekerja asing serta lokasi penempatan mereka supaya pengurusan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan telus.
Selain itu Pejuang Johor mencadangkan supaya kerajaan menghadkan pengambilan pekerja asing mengikut sektor tertentu sahaja serta memastikan majikan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan terlebih dahulu.
Katanya, kerajaan juga perlu memperkenalkan dasar penempatan khas atau asrama pekerja berpusat bagi mengelakkan penempatan warga asing secara tidak terkawal di kawasan perumahan rakyat.
Dalam masa yang sama katanya, kerajaan disaran memperkukuh program latihan kemahiran dan insentif kepada rakyat tempatan supaya mereka lebih berminat dan berdaya saing untuk bekerja dalam sektor-sektor yang sebelum ini banyak bergantung kepada tenaga kerja asing.
“Langkah ini penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing dalam jangka panjang,” ujarnya.
Pejuang Johor turut mencadangkan agar kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas pemantauan pekerja asing di peringkat negeri yang melibatkan agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan serta wakil masyarakat bagi memastikan isu ini dipantau secara berterusan dan tindakan dapat diambil dengan lebih cepat serta berkesan.
Pejuang Johor menegaskan bahawa keperluan tenaga kerja asing dalam pembangunan ekonomi tidak boleh dinafikan, namun pengurusannya mesti dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan berlandaskan kepentingan rakyat tempatan.
Tambahnya, kerajaan perlu memastikan kesejahteraan rakyat Johor sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap dasar yang dilaksanakan.
Beliau berharap isu lambakan warga asing ini ditangani secara serius demi menjaga keselamatan, keharmonian dan masa depan negeri.- MalaysiaGazette
















