JOHOR BAHRU – Keputusan kerajaan membatalkan semua penganjuran rumah terbuka Aidilfitri dan menstabilkan harga RON95 adalah langkah proaktif dalam menghadapi cabaran semasa.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Jalex Lee En Xiang berkata, langkah-langkah berkenaan juga diambil sebagai usaha memastikan kestabilan ekonomi serta perlindungan sosial kepada rakyat agar terus terpelihara.
“Komitmen kerajaan untuk menstabilkan harga RON95 melalui inisiatif BUDI95, walaupun harga RON95 meningkat sehingga 60 sen, memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk melindungi rakyat daripada kesan gelombang kejutan ekonomi luar,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, langkah-langkah yang diumumkan hari ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengamalkan disiplin fiskal serta memastikan penggunaan sumber awam secara lebih berhemah dan bertanggungjawab.
Pertamanya, kata Jalex, untuk memperkukuh disiplin fiskal melalui perbelanjaan yang berhemah serta tadbir urus yang bertanggungjawab.
Kedua, katanya, bagi meneruskan komitmen untuk menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat dalam keadaan ekonomi global yang semakin tidak menentu.
“Secara keseluruhan, langkah-langkah ini menonjolkan dua keutamaan utama kerajaan pada saat yang kritikal ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta mesej yang disampaikan Perdana Menteri itu perlu difahami secara menyeluruh serta tidak dipandang ringan atau diperkecilkan.
Katanya, pengumuman berkenaan perkara tersebut yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas mencerminkan kepimpinan tegas dan iltizam kukuh untuk meletakkan kepentingan Malaysia sebagai keutamaan.
Beliau yang juga Ketua AMK Cabang Tebrau berkata, dalam suasana global yang semakin mencabar ketika ini, pengumuman sedemikian membawa makna yang jauh lebih besar.
“Dalam waktu yang mencabar seperti ini, kepimpinan memerlukan ketegasan serta sokongan bersama-sama. Tanggungjawab kita kini bukan sahaja memahami kepentingan langkah-langkah ini tetapi juga bersama-sama berganding bahu memastikan kestabilan, ketahanan dan keyakinan terhadap masa depan Malaysia terus diperkukuhkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















