JOHOR BAHRU – Rakyat tidak seharusnya terperangkap dengan isu-isu yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam mana-mana masyarakat yang matang.
“Namun janganlah kerana satu perkara kita membiarkan diri kita berpecah. Johor berada pada tahap hari ini kerana kita bergerak bersama sebagai satu Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menyeru seluruh rakyat Johor untuk terus memelihara semangat kebersamaan itu dengan saling menghormati dan terus bersatu dalam membina masa depan Johor yang lebih maju dan sejahtera untuk generasi akan datang.
Ketika ini, kata Onn Hafiz, berlaku kekecohan isu bola sepak yang mengaitkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan pelbagai pandangan dilontarkan dalam media sosial.
“Itulah realiti dunia hari ini. Media sosial memberi ruang kepada semua untuk bersuara. Namun saya yakin, Bangsa Johor mengenali siapa sebenarnya TMJ.
“Sebagai Menteri Besar Johor, saya sendiri menyaksikan bagaimana banyak perkara yang digerakkan oleh TMJ lahir daripada satu keinginan yang jelas iaitu melihat Johor menjadi negeri lebih maju, berdaya saing dan rakyatnya hidup dengan lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, baginda sentiasa meletakkan tanda aras yang tinggi untuk kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan perkara yang sama diletakkan terhadap kepimpinan negeri.
Jelasnya, ini termasuk beliau sendiri, barisan Exco serta kepimpinan Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) dan mereka sering diingatkan bahawa amanah memimpin negeri ini bukan sekadar soal jawatan, tetapi tanggungjawab untuk bekerja lebih keras, berfikir lebih jauh dan memastikan setiap dasar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam bidang pendidikan katanya, Tuanku Mahkota Ismail sering menekankan bahawa masa depan Johor mesti dibina melalui pendidikan yang berkualiti untuk generasi muda.
Sebab itu kata beliau, lahir idea seperti Sekolah Rintis Bangsa Johor bagi membina generasi anak Johor yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga memiliki kepimpinan dan keyakinan untuk bersaing di peringkat global.
Begitu juga dengan pembangunan belia melalui Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) serta gerakan Southern Volunteers katanya, yang menghimpunkan ribuan anak muda Johor untuk turun membantu masyarakat ketika bencana dan situasi kecemasan.
Menteri Besar Johor berkata, inisiatif itu membentuk generasi muda yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi mempunyai semangat khidmat kepada masyarakat.
“TMJ juga sering menekankan bahawa kemajuan ekonomi negeri mesti memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
“Sebab itu Tuanku sentiasa menekankan kepentingan membawa masuk pelaburan berkualiti yang mampu menyediakan pekerjaan dengan gaji premium kepada anak muda Johor, selaras dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ),” ujarnya.
Hasil usaha bersama-sama pelbagai pihak katanya, Johor juga mencapai satu pencapaian penting apabila berjaya menoktahkan kemiskinan tegar.
Pada masa yang sama katanya, lebih 20,000 unit rumah mampu milik siap dibina dan didiami rakyat Johor, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai keluarga memiliki kediaman sendiri.
Ramai juga mungkin tidak mengetahui bahawa idea kepada Infaq Jumaat Johor, yang kini memberi manfaat kepada ratusan ribu rakyat setiap minggu, turut diinspirasikan oleh keprihatinan baginda terhadap golongan memerlukan, katanya.
“Inilah sisi yang jarang diperkatakan. Ramai melihat DYAM Tunku Mahkota Ismail hanya melalui ketegasan Tuanku dalam mempertahankan standard bola sepak.
“Tetapi jika dilihat secara lebih menyeluruh, visi Tuanku terhadap Johor sebenarnya melangkaui sukan semata-mata, ia meliputi pendidikan, pembangunan belia, ekonomi yang lebih kukuh serta kesejahteraan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette















