Antara 163 rakyat Malaysia daripada 170 penumpang yang selamat tiba di tanah air dari Jeddah, Arab Saudi.

SEPANG – Hanya pelukan kerinduan dan tangisan syukur yang menjadi ‘suara’ kepada 163 rakyat Malaysia yang terkandas akibat konflik di Asia Barat sebaik bertemu dengan orang tersayang di di balai ketibaan Terminal 1, Lapang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1), hari ini.

Mereka yang merupakan majoriti daripada 170 penumpang yang selamat tiba di Malaysia tenghari tadi, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi, semalam menerusi penerbangan sewa khas Malaysia Airlines.

Salah seorang penumpang, Mervin Gomes, 61, yang bekerja sebagai konsultan berkata, dia berada di Doha, Qatar sejak 23 Februari lalu dan sepatutnya akan bertugas di Abu Dhabi, UAE sehingga Mei ini.

Namun syarikatnya memutuskan, dia dan rakan setugas untuk  pulang ke Malaysia lebih awal berikutan keadaan geopolitik di sana tidak mengizinkan.

“Pada 28 Februari lalu bermulanya konfik di Iran tetapi keadaan kami di Doha memang tenang pada masa di situ cuma memang kita dapat melihat keadaan sebenar berlaku di langit Doha.

“Kami juga boleh dengar bunyi bedelan itu agak kuat dan dari hotel yang saya duduk turut merasai gegarannya, kalau nak kata risau itu ada, cuma kami tidak duduk di kawasan berdekatan.

“Namun seperti maklum kesan lebih banyak di Abu Dhabi dan disebabkan keadaan itu, kami mengambil keputusan untuk berhubung Kedutaan Malaysia dan buat perancangan bagaimana untuk pulang ke tanah air,” katanya pada pemberita di sini hari ini. 

Hanizan Haron, jemaah umrah terkandas di tanah suci akibat konflik Asia Barat.

Bagi Hanizan Haron, 54, jemaah umrah yang terkandas di Tanah Suci pula berkata, dia bersama adiknya, Aznita Haron, 51, telah terkandas hampir seminggu selepas penerbangan mereka dibatalkan.

Dia yang berasal dari Terengganu menambah, mereka dijadualkan pulang ke tanah air pada 4 Mac lalu selepas selesai menunaikan umrah kendiri (DIY) namun disebabkan konflik di rantau Asia Barat menimbulkan kebimbangan untuk pulang ke tanah air bagi menyambut Aidilfitri.

“Bila penerbangan dibatalkan, kami kami tidak dapat penerbangan baharu dan terpaksa tinggal di sana (Madinah) hampir seminggu. Apabila kerajaan Malaysia memberi peluang untuk pulang melalui penerbangan khas Malaysia Airlines kami terus ambil kerana berasa lebih selamat.

“Walaupun ada penerbangan lain dijadualkan pada malam berikutnya, saya rasa lebih selamat naik pesawat disediakan kerajaan kerana kerajaan kita berusaha membantu rakyat yang terkandas,” luahnya dengan nada syukur.

Aznita Haron, jemaah umrah terkandas di tanah suci akibat konflik Asia Barat.

Sementara itu, Aznita pula berkata dia berasa lega apabila akhirnya dapat pulang ke tanah air selepas penerbangan asal mereka ditangguhkan dan memikirkan mungkin akan menyambut Aidilfitri di Arab Saudi.

“Sepatutnya kami balik minggu lepas, jadi tertangguh kira-kira seminggu. Pada mulanya kami fikir mungkin terpaksa beraya di sana namun dengan adanya kerajaan keseluruhan proses yang diselaraskan berjalan lancar dan teratur.

“Memang ada rasa takut dan tertanya-tanya sama ada boleh pulang atau tidak, lebih-lebih lagi memikirkan anak-anak namun saya cuba bertenang dan yakin dengan kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Untuk rekod, mereka merupakan antara 170 penumpang yang menaiki penerbangan khas Malaysia Airlines MH8503 dari Jeddah yang tiba di Terminal 1, KLIA pada jam 12.32 tengah hari tadi.

Daripada jumlah itu, 163 adalah warganegara Malaysia manakala tujuh lagi melibatkan ahli keluarga bukan warganegara Malaysia yang terdiri daripada lima rakyat Thailand serta masing-masing seorang rakyat Indonesia dan Maghribi.

Penerbangan khas itu diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan sokongan Kementerian Luar Negeri (KLN) serta perwakilan Malaysia di beberapa negara di rantau Asia Barat.

Ia bagi memastikan rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan penerbangan dapat pulang ke tanah air dengan selamat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi memantau serius proses pemindahan rakyat Malaysia dari zon konflik di Asia Barat.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, proses itu dibuat selepas mendapat pengesahan daripada MKN.

Selain itu katanya, Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga giat memantau serta meneliti perkembangan perang Asia Barat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Konflik Asia Barat: Rakyat Malaysia terkandas selamat tiba di tanah air

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast