Anggota bomba dan penyelamat melakukan kerja-kerja menyelamat pekerja hotel yang tertimbus di sebuah hotel di Sandakan, pagi tadi.

KUALA LUMPUR- Seorang lelaki warga emas maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di belakang sebuah hotel di pusat bandar Sandakan, kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Agustine Frederick J Lingam, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tertimbus separuh badan oleh runtuhan tanah.

Difahamkan, insiden berlaku ketika cuaca hujan lebat daerah Sandakan sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di hotel berkenaan.

Mangsa, yang juga merupakan pekerja di hotel terbabit, telah pergi ke bahagian belakang bangunan untuk menghidupkan set jana kuasa (generator) bagi memulihkan bekalan elektrik.

Bagaimanapun, runtuhan tanah dari lereng berhampiran dipercayai berlaku secara tiba-tiba ketika mangsa sedang mengendalikan mesin tersebut, menyebabkannya terperangkap dan tertimbus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.39 pagi dan segera menggerakkan 10 anggota ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati mangsa tertimbus separuh badan. Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap sebelum jasadnya berjaya dikeluarkan pada jam 7.14 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang dating memberikan bantuan kecemasan mengesahkan mangsa telah pun menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian.

Jasad mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast