Anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran kawasan lalang dan tanah gambut di Jalan Bypass Punggai, Pengerang, Johor.

PENGERANG – Kebakaran belukar melibatkan kawasan lalang dan tanah gambut di Jalan Bypass Punggai di sini, sejak Isnin lalu hingga kini memusnahkan kawasan seluas 29.445 hektar.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Kanan I Sabri Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.08 petang, Isnin lalu.

“Setibanya pasukan di lokasi didapati kebakaran melibatkan lalang serta api di kawasan tanah gambut dengan keluasan awal kira-kira 8.09 hektar.

“Operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan tiada laluan masuk ke kawasan kebakaran selain ketiadaan sumber air berhampiran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi pemadaman pada sebelah malam tidak dapat dilakukan kerana faktor keselamatan termasuk penglihatan yang terhad serta keadaan hutan tebal yang berisiko kepada anggota.

Operasi memadam kebakaran, katanya, dengan kekuatan 10 anggota dari BBP Punggai dan BBP Sebana Cove masih diteruskan sehingga hari ini.

Jelas beliau, kerja-kerja pemadaman turut melibatkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah kenderaan pacuan empat roda Triton.

Sehingga pukul 6 petang kelmarin, ujarnya, kebakaran dilaporkan merebak sehingga melibatkan keluasan keseluruhan 29.445 hektar.

Bagaimanapun, katanya, pihak bomba berjaya memadamkan 4.4175 hektar atau 15 peratus daripada kawasan terjejas ketika itu menggunakan satu aliran hos sepanjang 600 kaki, dua pancutan serta kaedah breaching dengan sumber air terbuka menggunakan pam jenis Tohatsu.

“Setakat pukul 7 pagi semalam, peratusan kebakaran yang berjaya dipadamkan meningkat kepada 16 peratus atau bersamaan 4.71 hektar.

“Operasi pemadaman kemudian dipertingkatkan dengan penggunaan satu aliran hos sepanjang 1,100 kaki, dua breaching serta empat pancutan selain kaedah relay pumping menggunakan dua pam angkut dari sumber air terbuka berhampiran,” ujarnya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sehingga kini kira-kira 5.89 hektar atau 20 peratus kebakaran berjaya dipadamkan, manakala baki kawasan yang masih terbakar dianggarkan seluas 23.555 hektar. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast