SEBERANG JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) terus memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan termasuk mereka yang menjalani rawatan di hospital menerusi pelaksanaan Program Sekolah Dalam Hospital (SDH).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sehingga kini lebih 450,000 murid telah mendapat manfaat daripada program berkenaan sekali gus mencerminkan komitmen kementerian bahawa pendidikan merupakan hak setiap kanak-kanak.
“Ketika ini sebanyak 20 program SDH dilaksanakan di 12 negeri di seluruh negara, manakala dua lagi program sedang dalam proses pelaksanaan iaitu di Perak dan Putrajaya.
“Walaupun mereka tidak dapat bersekolah seperti biasa, tetapi kita jayakan juga (SDH) dalam konteks untuk terus mendukung akademik dan sebagai sokongan terapi.
“Sebab itulah modul dan juga pemilihan guru ini sangat penting kerana mereka memberikan sepenuh komitmen,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Sekolah Dalam Hospital di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, hari ini.
SDH di HSJ merupakan yang pertama diwujudkan di Pulau Pinang dan mula beroperasi pada 5 Ogos 2024 dengan menerima seramai 642 murid.
Tambah beliau, guru yang terlibat akan dibekalkan dengan peranti sokongan bagi memastikan proses pengajaran dapat dilaksanakan mengikut keadaan kesihatan pelajar sama ada yang terlantar atau berupaya menghadiri kelas.
Untuk rekod, program SDH dilaksanakan melalui kerjasama antara KPM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) termasuk membabitkan Hospital Pengajar Universiti (HPU) sejak tahun 2011. – MalaysiaGazette
















