KLUANG – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh isterinya dengan cara mengelar leher, pengelangan tangan dan bahu di rumahnya pada awal bulan ini.
Tertuduh, Ei Jean Yee, 56, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh isterinya, Ng Moy Koew, 48, dengan cara mengelar leher, tangan dan bahu mangsa menggunakan sebilah pisau dengan niat menyebabkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 9.31 malam di sebuah rumah di di Taman Muhibbah di sini, pada 4 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ramizah Razali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Nur Ramizah memohon mahkamah membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai bagi pemeriksaan mental.
Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai dan kes akan disebut semula pada 10 April ini.
Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki di kediamannya di Taman Muhibbah di sini pukul 9.40 malam 4 Mac lalu, selepas menerima aduan daripada anak mangsa.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati saspek cuba membunuh isterinya kerana mengesyaki isterinya itu sudah tidak mahu menjaganya serta tidak disayangi.
Suspek juga katanya percaya isterinya hendak melarikan diri menyebabkannya mengalami kemurungan.
Jelasnya, siasatan di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku di dapur dan hasil pemeriksaan doktor terdapat tiga kesan kelaran di leher, satu di bahu kanan serta dua di lengan tangan kiri mangsa.
Katanya, saspek kemudiannya bertindak menelan sekotak paku payung kecil (paku tekan) untuk cuba membunuh diri selepas mengelar mangsa menggunakan pisau. – MalaysiaGazette
















