KOTA TINGGI – Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman didenda RM1,500 terhadap seorang lelaki atas pertuduhan menjual bahan merokok kepada individu bawah umur.
Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu ke atas Chiew Chee Keong , 40-an, yang juga Orang Kena Saman (OKS), selepas dia mengaku bersalah bagi pertuduhan dihadapinya.
Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara satu bulan sekiranya lelaki itu gagal menjelaskan denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didakwa melanggar Seksyen 13(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 kerana menjual bahan merokok kepada orang belum dewasa.
Tindakan itu adalah satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 13(2)(a)(i) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Mohd Irwan Othman.
JKNJ Negeri Johor dalam satu kenyataan berkata, pemdakwaan kes itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan dan aktiviti penguatkuasaan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi dalam memastikan peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam dipatuhi sepenuhnya.- MalaysiaGazette
















