Hanafi menunjukkan kentong yang masih berfungsi dan digunakan di Surau Al-Istiqamah di Felda Sening, Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Sayup-sayup dari Surau Al-Istiqamah di Felda Sening di sini terdengar bunyi ketukan kentong yang memberikan isyarat masuknya waktu berbuka puasa dan solat Maghrib setiap kali Ramadan.

Penduduk yang menantikan paluan kentong mengangapnya sebagai ‘siren’ dengan bunyi yang sederhana namun jelas, menjadi petunjuk awal kepada penduduk kampung untuk bersiap sedia mendengar azan Maghrib dan berbuka puasa.

Peredaran zaman tidak memadamkan tradisi lama tersebut dan masih lagi dikekalkan sehingga kini walaupun sudah melangkau beberapa generasi dan dunia sudah beralih kepada teknologi moden.

Peribahasa Melayu tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas jelas menggambarkan tradisi tersebut yang masih diamalkan walaupun teknologi seperti pembesar suara kini digunakan secara meluas di kebanyakan masjid dan surau.

Selain menandakan waktu solat, kentong juga berfungsi sebagai alat komunikasi masyarakat kampung sejak dahulu lagi.

Dari jarak yang jauh, penduduk dapat memahami mesej yang ingin disampaikan melalui rentak ketukan tertentu.

Sang pemukul kentong, Hanafi Radiman berkata, setiap kali Ramadan, bunyi kentong akan dipalu terlebih dahulu sebelum azan berkumandang sebagai tanda peringatan kepada penduduk.

“Biasanya kalau bulan puasa, sebelum azan untuk kita berbuka, memang akan dengar dulu bunyi ketuk kentong ini. Jadi kita sudah bersiap sedia untuk dengar azan dan berbuka. Bila bunyi kentong sahaja, kita sudah boleh membaca doa berbuka puasa,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya lagi, kentong juga digunakan dalam pelbagai situasi lain termasuk bagi memaklumkan berita kematian dalam kampung.

“Kalau ada kematian, kentong akan dibunyikan. Tetapi cara ketukannya berbeza, sama ada jenazah lelaki atau perempuan,” jelasnya.

Selain itu, kentong turut dipalu sekiranya berlaku musibah seperti kebakaran bagi memberi amaran segera kepada penduduk supaya datang membantu.

Selepas solat tarawih pula, bunyi kentong sering bersahutan antara beberapa kampung berhampiran seperti kampung a, b dan c, sekali gus mewujudkan satu bentuk rangkaian komunikasi tradisional yang unik dalam kalangan masyarakat.

Surau Al-Istiqamah kini mempunyai dua buah kentong yang berusia hampir 40 tahun.

Kentong pertama diperoleh sekitar tahun 1980-an manakala yang kedua pada awal 1990-an.

Kentong tersebut dihasilkan oleh tukang kayu mahir menggunakan kayu berkualiti seperti kayu leban, cempedak dan pulai bagi menghasilkan bunyi yang jelas dan merdu.

Ia digantung pada alang di luar surau supaya bunyinya dapat didengar oleh seluruh penduduk kampung, malah arah tiupan angin juga diambil kira bagi memastikan bunyi kentong sampai ke kawasan yang lebih luas.

Pengerusi Surau Al-Istiqamah, Hairul Hafidz berkata, kewujudan kentong itu turut menarik minat golongan muda untuk datang ke surau.

“Bila kentong ini dijadikan sebagai paparan, secara tidak langsung ia menarik minat golongan muda untuk datang melihat dan mengenali tradisi ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Surau, Hisham Radiman berkata, tradisi tersebut akan terus dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman.

Menurutnya, amalan paluan kentong bukan sekadar berkaitan dengan keagamaan semata-mata, malah berperanan mengukuhkan semangat kejiranan serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Tradisi yang diwarisi turun-temurun ini membuktikan bahawa warisan budaya dan nilai kemasyarakatan masih mampu dipertahankan walaupun dunia semakin moden.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast