KUALA LUMPUR – Seramai empat lelaki tempatan diberkas selepas dipercayai menceroboh sebuah pencawang elektrik di Jalan Segambut Pusat di sini, awal pagi kelmarin sebelum tiga daripada mereka didakwa di mahkamah hari ini atas kesalahan pencerobohan jenayah.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi daripada seorang lelaki Melayu berusia 43 tahun yang bekerja sebagai Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB), selepas dia bersama rakan setugas berjaya menahan kesemua suspek.
Menurutnya, tangkapan dilakukan ketika keempat-empat lelaki warga tempatan itu disyaki menceroboh Pencawang Elektrik (PE) No. 65 di Jalan Segambut Pusat.
“Siasatan awal mendapati pengadu bersama beberapa anggota Polis Bantuan TNB pergi ke lokasi berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan kecurian kabel di kawasan tersebut.
“Pada kira-kira jam 5.50 pagi, pengadu melihat sebuah kenderaan jenis Toyota Veloz berwarna putih dengan nombor pendaftaran VMA3281 berhenti di hadapan pencawang elektrik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Basri berkata, tiga daripada suspek kemudiannya masuk ke dalam pencawang elektrik melalui pintu hadapan, manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kenderaan tersebut.
Menurutnya, pengadu bersama anggota Polis Bantuan lain bertindak menahan kesemua suspek sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Tangkapan semula dilakukan oleh pihak polis dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan mencuri kabel turut dirampas,” katanya.
Kesemua suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut.
Menurut Basri, perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek dibenarkan sehingga hari ini dan kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Tiga suspek telah dituduh di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan hari ini atas kesalahan pencerobohan jenayah, manakala seorang lagi dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata, polis akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah diminta menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















