KUALA LUMPUR – Di sebalik kegusaran global mengenai kemungkinan sekatan perdagangan di Selat Hormuz, kerajaan memberi jaminan bekalan tenaga domestik, termasuk petrol dan diesel, adalah mencukupi dan stabil untuk keperluan rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kedudukan Malaysia sebagai pengeluar minyak dan gas serta mempunyai kapasiti memproses sendiri memberikan kelebihan buat negara dalam mendepani ketidaktentuan di Asia Barat.
“Meskipun dunia kini berdepan risiko kekurangan bekalan berikutan konflik yang melibatkan pengeluar utama dunia, Malaysia berada dalam situasi yang lebih terkawal.
“Alhamdulillah, buat masa sekarang kita melihat bekalan yang ada di dalam negara adalah mencukupi.
“Seperti yang diterangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita mempunyai bahan tenaga petrol dan diesel yang cukup untuk kegunaan domestik,” katanya dalam sidang media Pasca Mesyuarat Kabinet Khas hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan pasaran memandangkan Asia Barat menyumbang kira-kira 20 peratus daripada pengeluaran minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, Petronas bersama syarikat-syarikat minyak lain dalam negara sedang giat berusaha untuk memanjangkan lagi tempoh bekalan yang ada.
“Kita ada kelebihan kerana melakukan sendiri cari gali, pengeluaran dan mempunyai kapasiti penapisan serta storan yang baik,” tambahnya lagi.
Terbaharu, pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei mengeluarkan kenyataan yang mana Selat Hormuz akan terus ditutup bagi memberi tekanan kepada musuh Iran.
Beliau turut menegaskan semua pangkalan AS di rantau itu perlu ditutup segera atau akan diserang. – MalaysiaGazette
















