SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memulakan Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 selama dua minggu bermula hari ini hingga 29 Mac dengan memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kesalahan-kesalahan tersebut dikenal pasti sebagai penyumbang utama kemalangan jalan raya.
“Sembilan tumpuan tersebut termasuklah tidak mematuhi had laju; tidak mematuhi isyarat lalu lintas termasuk melanggar lampu merah; memotong di garisan berkembar; memandu di lorong kecemasan.
“Tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar; memotong barisan; menggunakan telefon bimbit Ketika memandu; membawa lebi muatan dan membawa muatan secara berbahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di sidang media sempena Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 dan Speed Limiter Device (SLD) di Terminal Bas Seksyen 17, di sini malam ini.
Katanya, sebanyak 288 kawasan panas (hotspot) seluruh negara turut dikenal pasti.
“JPJ akan membuat pemeriksaan mengejut di terminal-terminal bas.
“Jadi ita akan tempatkan anggota-anggota kita untuk rondaan berkala di hotspot-hotspot ini,” katanya lagi.
Selain itu tambah beliau, JPJ juga akan melaksanakan penguatkuasaan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan (Road Ban) sempena sambutan Hari Raya Aidilftiri.
Jelasnya, larangan tersebut dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 19 hingga 20 Mac dan 28 hingga 29 Mac.
“Ia demi memastikan aliran trafik lebih lancar di lebuh raya dan jalan utama di seluruh negara,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, JPJ turut meningkatkan kemudahan kepada orang ramai untuk menyelesaikan saman AwAS yang telah disenarai hitam menerusi platform aplikasi MyJPJ, tanpa perlu hadir ke kaunter.
“Pembayaran yang Berjaya akan menyahaktifkan status senarai hitam secara automatik dalam system JPJ. Sebelum ini saman-saman AwAS ini sekiranya disenarai hitam, pesalah perlu pergi ke kaunter JPJ untuk menyelesaikan saman,”katanya.
Sehubungan itu, Aedy Fadly menyeru semua pengguna jalan raya memandu secara berhemah dan mematuhi undang-undang lalu lintas sepanjang tempoh perayaan.-MalaysiaGazette
















