Ugutan oleh ahlong bukan sahaja terhadap mangsa tetapi juga ahli keluarga dan kenalan.

KUALA LUMPUR –  Kegiatan pinjaman wang haram atau ahlong kini semakin membimbangkan apabila ramai mangsa terperangkap dalam hutang melampau walaupun hanya meminjam jumlah kecil.

Beberapa tahun ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tampil lantang memperjuangkan nasib mangsa dengan melancarkan kempen ‘Berhenti Bayar Wang Kepada Ah Long’ bagi menggalakkan peminjam menghentikan bayaran kepada sindiket pinjaman tidak berlesen.

Kempen tersebut digerakkan selepas pertubuhan itu menerima semakin banyak aduan daripada mangsa yang mendakwa mereka terus ditindas walaupun sudah membuat pelbagai bayaran kepada pemberi pinjaman haram.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ramai mangsa sebenarnya meminjam kerana desakan hidup namun akhirnya terperangkap dalam hutang yang meningkat berkali ganda akibat caj dan faedah yang tidak munasabah.

Menurut beliau, terdapat mangsa yang hanya meminjam sekitar RM500 tetapi akhirnya dituntut sehingga puluhan atau ratusan ribu ringgit.

“Ramai mangsa datang kepada kami dalam keadaan tertekan. Mereka meminjam sedikit sahaja tetapi akhirnya terperangkap dalam hutang yang melonjak berkali ganda sehingga tidak mampu diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette mengenai peningkatan kes mangsa pinjaman wang haram yang tampil mendapatkan bantuan daripada MHO baru-baru ini.

Hishamuddin berkata, terdapat juga mangsa meminjam beberapa ribu ringgit namun jumlah hutang yang dituntut akhirnya meningkat sehingga mencecah jutaan ringgit.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana sistem pinjaman yang digunakan sindiket ahlong membolehkan jumlah hutang meningkat secara berterusan melalui caj tambahan dan faedah yang tinggi.

Lebih membimbangkan, mangsa bukan sahaja berdepan tekanan kewangan tetapi turut menjadi sasaran ugutan dan gangguan.

“Ada mangsa diugut, dipukul, rumah disimbah cat malah ada yang dipaksa berbogel dan dirakam sebagai bahan ugutan. Ini menyebabkan mangsa dan keluarga mereka hidup dalam ketakutan,” ujarnya.

Menurut beliau, terdapat mangsa yang kehilangan pekerjaan, perniagaan malah rumah kerana tidak mampu lagi menanggung tekanan tersebut.

“Lebih menyedihkan, ada juga kes yang berakhir dengan tragedi bunuh diri kerana mangsa tidak mampu menanggung tekanan yang berterusan,” katanya.

Isu tersebut kembali mendapat perhatian selepas pendedahan mengenai sebuah telefon bimbit yang dipercayai milik sindiket pinjaman wang haram yang memaparkan struktur operasi dalaman kumpulan berkenaan.

Menurut Hishamuddin, kandungan telefon tersebut menunjukkan kegiatan pinjaman wang haram sebenarnya beroperasi secara tersusun seperti sebuah organisasi.

Maklumat tersebut juga dipercayai menunjukkan sindiket berkenaan mampu mengaut keuntungan puluhan juta ringgit setahun termasuk pendedahan terbaru yang mengaitkan operasi itu dengan keuntungan sekitar RM27 juta.

Pada masa sama, Hishamuddin turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis susulan tindakan pantas yang diambil selepas pendedahan mengenai sindiket berkenaan semalam.

Bagaimanapun beliau menegaskan usaha itu perlu diteruskan sehingga keseluruhan rangkaian sindiket berjaya dibongkar.

“Tangkapan sahaja tidak mencukupi. Siasatan perlu diperluaskan untuk mengenal pasti dalang sebenar dan memastikan mereka didakwa di mahkamah.

“Jika tidak, rakyat akan terus menjadi mangsa kepada sindiket yang mengaut keuntungan besar dengan menindas mereka yang berada dalam kesusahan,” katanya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Henti bayar ‘Ah long’, lawan mereka dengan undang-undang

MHO Lancar Kempen “Hentikan Bayaran Kepada Ah Long” Bagi Lindungi Mangsa Pinjaman Haram

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast