KUALA LUMPUR – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengumumkan kerjasama hak penamaan bersama Telekom Malaysia Berhad bagi dua venue ikonik negara iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil.
Kedua-dua stadium itu dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional Unifi Arena.
“Kerjasama strategik selama tiga tahun ini bertujuan memperkukuh kelestarian serta menaik taraf kemudahan stadium agar terus kekal relevan sebagai lokasi penganjuran acara sukan dan hiburan bertaraf antarabangsa.
“Sebagai venue yang telah menyaksikan pelbagai detik bersejarah dan menyatukan jutaan rakyat Malaysia, kerjasama ini diharap dapat memberikan pengalaman yang lebih baik kepada semua pengunjung serta memastikan stadium kebanggaan negara terus menjadi simbol perpaduan dan kebanggaan nasional,” kata PSM dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil, sebagai pengurus kedua-dua stadium berkenaan, pihaknya komited memastikan kemudahan itu sentiasa berada pada tahap terbaik untuk rakyat Malaysia.
Menurutnya, kerjasama hak penamaan itu merupakan inisiatif PSM bagi memperkukuh kelestarian serta pembangunan jangka panjang venue berkenaan.
“Berkuat kuasa 6 Mac 2026, PSM menjenamakan semula Stadium Nasional dan Stadium Putra masing-masing sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena.
“Hasil daripada kerjasama ini akan disalurkan kepada usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan stadium bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada para pengunjung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, syarikat itu berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi venue nasional yang ikonik tersebut.
Menurutnya, Stadium Nasional dan Stadium Putra sejak sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan serta menyaksikan pelbagai detik bersejarah.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar ia kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
















