Pengusaha buluh, Nur Izzah Ismail, 30 bergambar bersama pekerja-pekerja ketika ditemubual MalaysiaGazette di Batu 19, Hulu Langat. Foto SADIQ SANI, 12 MAC 2026.

HULU LANGAT – “Alhamdulillah tempahan buluh lemang tahun ini amat menggalakkan.”

Itu luahan pengusaha buluh lemang, Nur Izzah Ismail, 30, yang kini tidak menang tangan memenuhi tempahan pelanggan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, perniagaan buluh lemang itu yang diusahakan di Hulu Langat, Selangor sejak kira-kira tiga tahun lalu, semakin mendapat perhatian khususnya ketika musim perayaan apabila permintaan daripada pelanggan terus meningkat.

Pengusaha buluh, Nur Izzah Ismail, 30 bercakap ketika ditemubual MalaysiaGazette di Batu 19, Hulu Langat. Foto SADIQ SANI, 12 MAC 2026.

“Proses mencari buluh lemang ini ada beberapa peringkat. Mula-mula kita akan cari buluh yang sesuai, kemudian pilih yang benar-benar menepati ciri yang diperlukan. Antara cirinya ialah ruas buluh perlu panjang dan matang.

“Selepas itu, buluh akan dipotong mengikut ukuran kira-kira 18 inci. Buluh yang sudah dipotong akan dibawa ke kawasan yang lebih rata untuk diikat.

“Biasanya satu ikatan mengandungi 50 batang buluh dan dalam sehari kami boleh memperoleh sekitar 500 hingga 800 batang, bergantung kepada keadaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, baru-baru ini.

Menurut Nur Izzah, kerja mencari buluh biasanya dilakukan oleh dua orang pekerjanya yang akan keluar seawal pagi bagi mendapatkan buluh yang sesuai sebelum diproses untuk dijual.

Seorang pekerja menelusuri hutan yang dipenuhi dengan pokok buluh ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Batu 19, Hulu Langat. Foto SADIQ SANI, 12 MAC 2026.

“Bagi mengelakkan tempahan melebihi kemampuan bekalan, kami mengambil tempahan lebih awal supaya pelanggan dapat menetapkan tarikh pengambilan buluh.

“Kami mampu menerima sekitar 1,500 batang tempahan pada satu-satu masa bergantung kepada kemampuan pengeluaran,” jelasnya.

Terdapat dua pilihan buluh lemang ditawarkan kepada pelanggan, iaitu yang telah siap dimasukkan daun pisang yang dijual pada harga RM2.70 sebatang, manakala buluh kosong dijual pada harga RM1.50 sebatang.

Seorang pekerja melakukan kerja-kerja mengikat hasil buluh yang telah dipotong ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Batu 19, Hulu Langat. Foto SADIQ SANI, 12 MAC 2026.

Menariknya, Nur Izzah berkata, perniagaan tersebut turut mendapat lonjakan tempahan selepas beliau mempromosikan buluh lemang menerusi platform media sosial seperti TikTok.

“Sebelum ini saya cuba promosikan di Facebook tetapi sambutannya kurang. Jadi saya cuba muat naik video di TikTok kira-kira seminggu dua sebelum Ramadan dan selepas itu tempahan mula masuk.

“Daripada sedikit, lama-kelamaan semakin banyak dan Alhamdulillah ia sangat membantu perniagaan kami,” katanya.

Menurutnya, pelanggan yang mendapatkan buluh lemangnya bukan sahaja dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, malah ada yang datang dari Perak, Johor serta Negeri Sembilan.

Pekerja, Edi Supriadi membawa hasil buluh yang telah dipotong menggunakan motosikal sambil menuruni bukit yang curam ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Batu 19, Hulu Langat. Foto SADIQ SANI, 12 MAC 2026.

“Ada yang datang ambil sendiri menggunakan kereta, pacuan empat roda, malah lori jika tempahan dalam jumlah yang banyak,” katanya.

Bagi Nur Izzah, perniagaan buluh lemang yang diusahakan itu bukan sekadar sumber pendapatan sampingan, malah membantu menampung perbelanjaan keluarga terutama menjelang musim perayaan.

Sementara itu, pekerja buluh lemang, Edi Supriadi, 30, berkata mereka akan membawa peralatan asas seperti parang dan ubat nyamuk sebelum berjalan kira-kira setengah jam untuk masuk ke kawasan hutan bagi mencari buluh lemang.

Pekerja, Edi Supriadi bercakap ketika ditemubual MalaysiaGazette di Batu 19, Hulu Langat. Foto SADIQ SANI, 12 MAC 2026.

“Cabaran utama adalah mendaki kawasan berbukit selain perlu mengangkut buluh yang telah ditebang untuk dibawa turun.

“Kadang-kadang badan juga terasa gatal akibat terkena daun dan buluh di kawasan hutan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast