KOTA TINGGI – Dua mat rempit dicekup selepas berlumba dan melakukan aksi berbahaya di Kilometer 63 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata, lelaki berusia 21 dan 23 tahun itu diberkas di sebuah stesen minyak di Pasal dalam Ops Samseng Jalanan pukul 2.30 pagi.
Terdahulu, menurut beliau, Pasukan Penguat Kuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi membuat pemantauan aktiviti samseng jalanan di jalan tersebut.
“Semasa di jalan tersebut pihak polis melihat dan mengekori dua lelaki yang menunggang motosikal jenis RXZ sedang melakukan aksi meniarap atas motosikal sambil meluruskan kaki (Superman).
“Mereka juga bersaing sesama sendiri dari kilometer 63 hingga kilometer 64 di mana aksi-aksi tersebut amat berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-duanya berjaya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Beliau memberitahu, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000.- MalaysiaGazette
















