Abbas Araghchi. foto Anadolu Agency

TEHRAN – Iran memberi amaran kepada negara-negara lain agar tidak terlibat dalam peperangannya dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Amaran itu dikeluarkan selepas Presiden Donald Trump menggesa kuasa dunia mengiringi kapal tangki minyak melalui laluan sempit Selat Hormuz di Teluk.

Tehran turut menghantar mesej tegas kepada negara jiran Arabnya dengan menyatakan republik Islam itu mempunyai apa yang disifatkan menteri luar negerinya sebagai “bukti mencukupi” bahawa pangkalan tentera AS di wilayah mereka digunakan untuk melancarkan serangan.

“Perang ini akan berakhir apabila kami yakin ia tidak akan berulang dan pampasan akan dibayar,” kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi kepada platform berita berbahasa Arab, Al-Araby Al-Jadeed.

“Kami pernah mengalami perkara ini tahun lalu: Israel menyerang, kemudian Amerika Syarikat,” kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi kepada Al-Araby Al-Jadeed., merujuk kepada perang udara selama 14 hari oleh Israel pada Jun tahun lalu yang turut melibatkan tentera AS dalam serangan semalaman terhadap tapak nuklear Iran.

Harga tenaga meningkat mendadak di seluruh dunia selepas Iran bertindak balas terhadap kempen baharu AS-Israel dengan mengancam perkapalan yang melalui Selat Hormuz, laluan yang biasanya menyaksikan sekitar 20 peratus eksport minyak dan gas dunia melalui ke pasaran global.

Trump pada Sabtu menggesa “China, Perancis, Jepun, Korea Selatan, United Kingdom dan lain-lain” menghantar kapal untuk mengiringi kapal tangki, sementara tentera AS akan terus menyerang tapak pelancaran dron, bot dan peluru berpandu di wilayah Iran di utara selat itu.

Namun negara-negara yang disebut itu hanya memberi maklum balas berhati-hati.

Dalam perbualan dengan rakan sejawatnya dari Perancis, Jean-Noël Barrot, Araghchi memberi amaran agar mereka “menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh membawa kepada peningkatan dan peluasan konflik”.

Kementerian Pertahanan United Kingdom pula enggan mengulas lanjut dengan menyatakan ihaknya “sedang berbincang dengan sekutu dan rakan mengenai pelbagai pilihan bagi memastikan keselamatan perkapalan di rantau ini”.

Menteri Keselamatan Tenaga Britain, Ed Miliband memberitahu BBC bahawa “pelan sekarang ialah untuk meredakan konflik… Kami sedang berbincang dengan sekutu. Terdapat pelbagai cara untuk memastikan perkapalan maritim dapat diteruskan”.

Korea Selatan memaklumkan mereka sedang memantau kenyataan Trump di media sosial, manakala ketua dasar parti pemerintah Jepun, Takayuki Kobayashi berkata, syarat untuk menghantar kapal tentera laut Jepun ke rantau itu di bawah undang-undang sedia ada adalah “amat tinggi”.

Harga minyak global melonjak sehingga 40 peratus selepas Iran menyekat laluan laut penting itu serta menyerang sasaran industri tenaga dan perkapalan di negara jiran Teluk.

Serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap kempen serangan udara AS dan Israel yang membunuh pemimpin tertinggi Iran, sekali gus mencetuskan perang di seluruh Asia Barat.

Ketika pasaran global bergolak, Trump menegaskan, beliau percaya Tehran mahu berunding, namun AS akan meneruskan tekanan bagi mendapatkan syarat yang lebih baik.

Beliau berkata, mungkin sekali lagi mengebom sasaran di hab minyak Iran di Pulau Kharg, “hanya untuk suka-suka”.

“Iran mahu membuat perjanjian, dan saya tidak mahu melakukannya kerana syaratnya belum cukup baik,” kata Trump kepada NBC News.

Pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei, dalam kenyataan bertulis berikrar akan terus menutup Selat Hormuz.

Namun Trump menolak kenyataan itu dan mencadangkan, musuhnya itu mungkin tidak lagi mengawal keadaan, dengan berkata: “Saya tidak tahu sama ada dia masih hidup. Setakat ini tiada siapa dapat menunjukkannya”. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast