Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Seremban, Gary Marimuthu

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir individu yang didakwa mencetuskan provokasi berunsur agama dan perkauman tidak seharusnya dipandang ringan kerana berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Seremban, Gary Muthu berkata, Malaysia dibina atas semangat muhibah antara pelbagai kaum dan agama, justeru keharmonian yang telah lama dipupuk itu tidak wajar dipermainkan oleh mana-mana pihak.

Menurut beliau, tindakan yang sengaja mencetuskan kebencian atau provokasi agama hanya akan merosakkan hubungan antara masyarakat yang selama ini hidup dalam keadaan aman dan saling menghormati.

“Malaysia bukan sebuah ‘taman tema’ yang meraikan satu pihak sahaja. Negara ini dibina atas semangat muhibah dan saling menghormati antara kaum serta agama.

“Namun, mutakhir ini, kita melihat tindakan segelintir individu yang seolah-olah menjadikan kebencian sebagai ‘hobi’, sekali gus mencabar kontrak sosial yang telah sekian lama kita pertahankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas beberapa insiden tular yang dikaitkan dengan individu seperti Zamri Vinod Kalimuthu dan Tamim Dahri yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi serta menyentuh sensitiviti agama.

Gary berkata, laporan media turut menyebut kedua-dua individu berkenaan dipercayai telah meninggalkan negara ketika siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dijalankan.

“Tindakan meninggalkan negara ketika siasatan dijalankan menimbulkan persoalan tentang akauntabiliti.

“Jika seseorang benar-benar yakin dengan prinsip yang diperjuangkan, mereka sepatutnya berani berhadapan dengan proses undang-undang di negara sendiri,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan undang-undang seperti Seksyen 295 Kanun Keseksaan memainkan peranan penting dalam melindungi keharmonian masyarakat berbilang agama di Malaysia.

Menurutnya, peruntukan undang-undang tersebut bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan setiap individu menghormati kepercayaan serta simbol suci agama lain.

“Menghina simbol agama bukanlah satu bentuk kebebasan bersuara. Ia adalah satu serangan terhadap keharmonian nasional yang telah lama kita bina bersama,” katanya lagi.

Gary turut mengingatkan kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina atau memperlekehkan kepercayaan orang lain.

Katanya, insiden provokasi agama yang sengaja dicetuskan hanya akan meninggalkan kesan buruk kepada masyarakat dan berpotensi mewujudkan ketegangan antara kaum.

Dalam pada itu, beliau menyokong gesaan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang meminta orang ramai supaya bertenang serta memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.

“Reaksi emosi yang tidak terkawal hanya akan merosakkan fabrik masyarakat kita yang harmoni. Apa yang penting sekarang adalah memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, Gary menggesa masyarakat supaya menghentikan spekulasi yang tidak berasas dan menumpukan usaha untuk memperkukuh perpaduan serta saling menghormati antara satu sama lain.

“Sudah tiba masanya kita berhenti menyemarakkan ‘drama kebencian’ dan sebaliknya mencari titik persamaan sebagai rakyat Malaysia.

“Malaysia yang lebih baik hanya akan tercapai apabila kita memilih untuk membina kerjasama dan rasa hormat dalam setiap interaksi harian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast