KUALA LUMPUR – Semangat Ramadan terus menjadi wadah terbaik dalam menyatukan golongan belia menerusi program kerohanian yang inklusif dan santai.
Penganjuran Majlis Penutupan Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 membuktikan institusi masjid kini berjaya menjadi nadi buat anak muda untuk berkumpul dan menabur bakti.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabran Abd Bahar berkata, program kolaborasi strategik antara pihaknya dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memastikan golongan belia tidak tersisih daripada aktiviti keagamaan, sebaliknya menjadikan masjid sebagai pusat kecemerlangan sahsiah.

“Program sebegini sangat penting apatah lagi kerjasama merentas agensi bagi menyediakan platform yang sihat untuk anak muda terutamanya dalam membina jati diri sepanjang bulan suci Ramadan.
“Usaha murni ini bukan sekadar majlis berbuka puasa tetapi merupakan penghormatan kepada anak-anak muda yang telah memberikan komitmen dalam menghidupkan syiar Ramadan di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam ucapan perasmiannya.
Jelasnya, program Rakan Muda Masjid yang diluncurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu membawa makna besar buat anak-anak muda hari ini.
“Masjid bukan lagi untuk solat tetapi boleh dianjurkan dengan pelbagai aktiviti seperti sukan, program-program keusahawan dan macam-macam lagi.
“Inilah tempat untuk melahirkan generasi terbaik dalam kalangan anak muda hari ini,” katanya.
Majlis penuh keberkatan itu berlangsung di Dewan Al-Qaradhawi, Kompleks Darul Kifayah turut dihadiri Pengetua Darul Kifayah, Mohd Hasnizan Hasin dan Penolong Pengarah Rakan Muda Yan Mohd Nor Alif Mohamed Noh.

Pada majlis sama turut diadakan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi aktiviti yang dianjurkan sepanjang program berlangsung.
Antara aktiviti yang dipertandingkan adalah hafazan, tulisan khat, azan dan poster sambutan Aidilfitri.
Sementara itu Mohd Hasnizan Hasin menzahirkan rasa bangga atas penglibatan aktif peserta yang menunjukkan belia di ibu kota mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi.
“Terima kasih kepada JBS kerana memilih Darul Kifayah untuk penganjuran program hari ini.
“Selain pertandingan itu, kita dapat lihat juga bagaimana bakat anak-anak muda ni dalam pelbagai program lain seperti memasak.
“Hasil kerjasama mereka hari ini pelbagai menu dapat disediakan seperti udang mentegi, ayam masak merah, rendang dan tidak ketinggalan bubur lambuk,” katanya.
Katanya lagi, semangat bekerjasama yang baik itu diharap akan menjadi benteng untuk anak-anak muda ini terus menjadi insan yang baik apabila dewasa kelak.
Anak Muda Bangga
Rata-rata pemenang pertandingan melahirkan rasa berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada peserta program.
Bagi johan pertandingan azan, Nur Muhammadf Faiq Muhammad Aliff Nur penyertaan ini memberikan nilai tambah dalam pengetahuannya.

“Saya dapat belajar banyak perkara sepanjang di sini, selain menguatkan lagi kemahiran melaungkan azan, ada banyak lagi ilmu yang saya dapat pelajari di sini.
“Program ini memang benar-benar terbaik untuk saya lagi-lagi dalam bulan Ramadan ini,” katanya.
Dua pemenang hafazan Wahyu Abd Latif dan Zahira Nadia Zaki Hassan pula sependapat program Rakan Muda Masjid ini menambahkan pengetahuan mereka khususnya dalam proses hafazan.
“Kami dapat memperbetulkan bacaan kami dari segi tajwid dan di sini juga kami dapat menguji kemampuan diri kami.
“Ternyata Ramadan kami dipenuhi dengan pengisian rohani yang sangat baik, apatah lagi untuk kami yang masih bersekolah,” ujar mereka.
Kerjasama erat antara MAIWP dan JBS ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pembangunan belia yang berpaksikan institusi masjid pada masa hadapan, selari dengan aspirasi untuk melahirkan generasi Madani yang seimbang. – MalaysiaGazette
















