ISKANDAR PUTERI – Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Iskandar Puteri menjalankan 24 Op Samseng bertujuan mengekang kegiatan mat rempit bermula 1 Januari hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, menerusi operasi tersebut seramai 43 mat rempit terdiri daripada 42 lelaki dan seorang wanita ditahan.
“Jumlah kenderaan yang diperiksa melibatkan 358 buah manakala yang disita pula 156 kenderaan. Sementara 663 saman juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, operasi tersebut dijalankan bagi mengambil tindakan tegas terhadap samseng jalanan yang masih berdegil sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.
Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun denda antara RM5,000 hingga RM20,000 serta lesen digantung selama dua tahun.
Tegas beliau, operasi operasi akan diteruskan bagi mencegah aktiviti lumba haram dan memastikan ketenteraman awam terjaga.- MalaysiaGazette
















