KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan seramai 10 individu serta merampas pelbagai barangan termasuk petrol dianggarkan bernilai lebih RM4.9 juta dalam serbuan Ops Tiris di Pelabuhan Johor, Rabu lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi tersebut dijalankan hasil risikan pegawai Bahagian Penguat Kuasa Putrajaya dengan kerjasama KPDN Johor yang menahan sebuah lori tangki ketika sedang memindahkan barang kawalan ke sebuah kapal tangki yang berlabuh di pelabuhan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati beberapa tangki di dalam kapal tersebut mengandungi cecair petroleum yang disyaki petrol.
“Pemeriksaan lanjut mendapati petrol itu disimpan di dalam empat tangki utama kapal dengan anggaran kuantiti keseluruhan sebanyak 929,124 liter yang dianggarkan bernilai RM2.6 juta.
“Dalam operasi itu, sembilan warga asing dan seorang warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita kapal tangki, lori tangki, petrol serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan petroleum termasuk hos getah, dokumen penghantaran dan dokumen kapal minyak bagi tujuan siasatan lanjut.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM4,902,952.13 dan kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. – MalaysiaGazette
















