JOHOR BAHRU – Hasrat beberapa individu yang cuba mencuri kabel terbantut apabila dihalang sekumpulan remaja menaiki motosikal di Jalan Permas Jaya Utara/Permas 5, Permas Jaya di sini, kelmarin.
Video kejadian itu yang berdurasi satu minit 12 saat tular di dalam media sosial yang memaparkan remaja menunggang motosikal menegur seorang lelaki yang berada di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda sedang mencuri kabel.
Lelaki berkenaan dipercayai sedang melakukan aktiviti mencuri kabel di tepi jalan pada waktu tengah malam.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan kemudian menerima video berkenaan pada pukul 10 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang juruteknik syarikat komunikasi berusia 51 tahun, pukul 5.36 pagi kelmarin.
“Ketika itu juruteknik berkenaan sedang membuat rondaan cegah kecurian kabel di sekitar Permas Jaya dan menemui kabel dari jenis bawah tanah 50 meter milik syarikatnya.
“Pihak polis sedang mengumpul maklumat kejadian tersebut bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, kesalahan curi kabel jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam masa sama, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu tampil memberikan kerjasama di IPD Johor Bahru Selatan.
Tambahnya, mereka juga boleh menghubungi talian hotline IPD tersebut 07-2182323 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















