JOHOR BAHRU – Syawal yang bakal tiba memberi keceriaan buat keluarga seorang buruh kasar, Muslimin Tumiran, 62, apabila buat pertama kali menerima sumbangan daripada pihak Pasaraya Econsave.
Dia yang memiliki seorang anak orang kurang upaya (OKU) dan tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini, terharu menerima sumbangan tersebut.
Muslimin berkata, dia akan menggunakan sumbangan itu untuk membeli barang-barang dapur berbanding membeli pakaian raya kerana perkara tersebut lebih utama untuk keluarganya.
“Biasanya saya membeli apa yang penting sahaja sempena Aidilfitri bagi menjimatkan kos dan jika tiada bantuan, maksudnya tiadalah baju baharu bagi anak mahupun isteri.
“Bagi kami apa yang lebih diutamakan adalah bekalan makanan di rumah mencukupi. Kami sambut Syawal secara sederhana mengikut kemampuan.
“Selalunya kalau hari raya, kami pakai mana yang ada sahaja dan anak OKU kami sudah terbiasa dengan situasi ini.
“Sebabnya pendapatan saya hanya kira-kira RM1,000 dan perlu menampung perbelanjaan dapur, sewa rumah dan sebagainya,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada program penyerahan baucar RM150 tajaan Pasaraya Econsave di Taman Daya, di sini hari ini.
Sementara itu, Muslimin turut melahirkan rasa syukur dengan sumbangan berkenaan yang disifatkan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarganya.
Mengenai anaknya yang berstatus OKU, dia berkata, anaknya yang berusia 28 tahun itu mengalami kecacatan sejak usia kecil apabila terjatuh dalam baldi dan hampir lemas.
“Dia merupakan anak kedua daripada enam beradik dan anak-anak yang lain ada yang sudah berumah tangga selain hanya bekerja biasa,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Suhaimi Mohammad, 44, berkata, dia yang merupakan pesakit strok bersyukur dengan bantuan disalurkan.
“Buat masa ini kami sekeluarga hanya bergantung upah diterima isteri sebagai pengasuh selain bayaran bulanan pencen ilat sejumlah RM1,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Memang situasi agak mencabar bagi kami kerana kos sara hidup semakin meningkat, kami bersyukur kerana anak sulung yang bekerja sebagai tukang masak sedikit-sebanyak membantu dalam menampung kos perbelanjaan persekolahan anak bongsu yang belajar di tingkatan empat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, seramai 40 golongan fakir terpilih menerima sumbangan baucar beli-belah itu yang dilakukan menerusi pengurusan surau Desa Mutiara.
“Ada sesetengah daripada mereka merupakan pesakit kronik, OKU dan ibu tunggal yang bakal meraikan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Secara keseluruhannya Econsave memperuntukkan RM100,000 untuk disalurkan kepada golongan memerlukan sempena Ramadan di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















