Kelihatan di kemera litar tertutup beberapa buah kenderaan berhenti di lorong kecemasan bagi mengambil gambar pemandangan dari atas lebuh raya yang baru dibuka pada 16 September, sekaligus dilihat mampu menjadi laluan alternatif utama di beberapa lokasi strategik iaitu MRR2, Jalan Ampang dan Jalan Loke Yew ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lebuhraya (SUKE) Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 19 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Sebanyak 12,164 kesalahan menggunakan lorong kecemasan direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2023 hingga Februari lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 689 kes direkodkan hanya dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

“Kesalahan menggunakan lorong kecemasan ini dikenal pasti sebagai antara kesalahan utama yang sering berlaku khususnya ketika musim perayaan.

“Kita memandang serius kesalahan ini kerana stastik juga menunjukkan peningkatan dan pengguna jalan raya diingatkan bahawa lorong kecemasan hanya boleh digunakan bagi tujuan kecemasan sahaja,” katanya dalam sidang media pada Majlis Iftar JPJ bersama media di sini, malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli.

Tegas beliau, penggunaan lorong kecemasan hanya dibenarkan bagi tujuan tertentu termasuk kenderaan yang mengalami kerosakan atau laluan kenderaan penyelamat seperti ambulans.

Jelasnya, walapun terdapat beberapa lebuh raya yang mengaktifkan laluan tambahan seperti smart lane bagi mengurangkan kesesakan, namun lorong kecemasan hanya untuk kenderaan yang rosak atau kegunaan ambulans dan sebagainya.

“JPJ melalui Unit Rondaan Lebuh Raya turut akan menjalankan pemantauan sepanjang musim perayaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemandu yang melakukan kesalahan tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast