MELAKA – Pelantikan ketua-ketua bahagian penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka merupakan langkah pantas parti itu bagi menstabilkan serta membentuk jawatankuasa baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri tahun ini.
Ketua Bahagian (Penaja) Bersatu Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan parti itu dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat selain memperkemaskan gerak kerja di peringkat akar umbi.
Menurutnya, di peringkat awal, struktur jawatankuasa yang dibentuk melibatkan jawatan utama iaitu ketua, timbalan serta naib sebelum diperluaskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Jawatankuasa ini akan menyelaraskan gerak kerja parti di peringkat DUN dan PDM yang akan kita bentuk selepas ini.
“Kita perlu bertindak lebih pantas kerana PRN Melaka boleh berlaku pada bila-bila masa, jadi persiapan jentera parti perlu digerakkan lebih awal,” katanya.
Beliau yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Negara berkata demikian pada sidang media pelantikan Ketua Bahagian Penaja Melaka di Baitul Tariq Klebang, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan lima daripada enam Jawatankuasa Bahagian Bersatu Melaka dibubarkan berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah strategik untuk menyertai jajaran politik baharu menjelang PRN Melaka.
Lima bahagian terlibat ialah Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin kecuali Kota Melaka.
Pembubaran itu meliputi semua jawatankuasa bahagian, sayap Armada, Srikandi, Srikandi Muda, Bersekutu Bahagian serta seluruh cawangan dan sayap cawangan di bawah pentadbiran masing-masing.
Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, Bersatu akan mengetengahkan gabungan tokoh berpengalaman, golongan agamawan, ilmuwan serta anak muda berpendidikan sebagai calon pada PRN akan datang.
“Kita yakin dengan pengalaman yang ada, Bersatu mampu mentadbir negeri ini dengan lebih baik demi kepentingan rakyat Melaka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mendakwa terdapat beberapa kelemahan dan pembaziran dalam pentadbiran kerajaan negeri termasuk lawatan kerja ke luar negara yang melibatkan kos tinggi, namun tidak memberikan manfaat jelas kepada rakyat.
“Kita ambil contoh lawatan ke Australia yang memakan belanja hampir RM2.3 hingga RM2.4 juta, tetapi kita tidak nampak hasil yang signifikan kepada rakyat.
“Lebih baik peruntukan tersebut digunakan untuk membantu rakyat yang berdepan kesukaran hidup ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















