KUALA LUMPUR – Lima individu termasuk dua pengarah pusat spa lelaki di Chow Kit didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret di sini hari ini berkaitan aktiviti tidak bermoral ketika serbuan di premis berkenaan, November tahun lalu.
Kedua-dua pengarah syarikat, Lee Leong Yaw, 59; dan Pung Hiyun Hee, 70; serta tiga tertuduh lain Ong Seng Teck, 63; Muhammad Wafiy Dinie Azmi, 19; serta Mohd Fikri Mohd Razali, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.
Prosiding pendakwaan dilakukan di hadapan Majistret S. Arunjothy, Noorelynna Hanim Abd. Halim serta Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, Leong Yaw dan Hiyun Hee didakwa membenarkan aktiviti tidak bermoral di dalam premis selain aktiviti perniagaan yang dinyatakan dalam lesen.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Ipoh Kecil, Chow Kit di sini, kira-kira pukul 8 malam pada 28 November tahun lalu.
Bagi kesalahan berkenaan, mereka didakwa mengikut Seksyen 20(1)(c) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 38 akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berterusan boleh dikenakan denda sehingga RM200.
Pada prosiding itu, Seng Teck didakwa memiliki video lucah dalam telefon pintar Samsung Galaxy di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 11.15 pagi, 30 November tahun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Di Mahkamah Majistret berasingan, Mohd Fikri, 44, turut didakwa memiliki gambar dan video lucah dalam telefon pintar iPhone di lokasi dan pada tarikh serta masa sama.
Sementara itu, Muhammad Wafiy, 19, pula didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau iaitu meraba bahagian dada dan paha seorang lelaki yang dilihat oleh dua anggota polis kira-kira pukul 8 malam pada 28 November tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vivi’Asnita Zaina’Larifin, Iman Nurhidayah Ezani dan Syafika Azwa Fikri.
Kesemua tertuduh diwakili Peguam Zaid Malek, Mahajoth Singh, Reenajit Kaur Golen, Raqib Osman dan Jeichandran Santhirasegaran.
Mahkamah membenarkan ikat jamin masing-masing RM2,000 terhadap kedua-dua pengarah, RM2,800 (Muhammad Wafiy); RM3,800 (Seng Teck) dan RM4,000 (Mohd Fikri).
Sebutan kes ditetapkan pada 24 April (Muhammad Wafiy); 18 Mei (Leong Yaw, Hiyun Hee dan Seng Teck) serta serta 9 Jun (Mohd Fikri). – MalaysiaGazette
















