JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesan individu yang menyamar sebagai amil mengutip zakat di tempat tumpuan awam di bandar raya ini hari ini.
JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, penguat kuasa mengesan seorang lelaki mendakwa sebagai amil yang sah dan mengutip zakat dalam operasi pada pukul 11 pagi tadi.
“Lelaki itu dikesan ketika JAINJ menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap amil zakat fitrah di beberapa pasar raya termasuk Giant Taman Suria, Kipmall Tampoi, Giant Tampoi, Perling Mall, Pasar Borong Pandan, Smart Pandan dan Terminal Larkin Sentral.
“Lelaki berkenaan mendakwa sebagai amil yang sah namun tidak dapat menunjukkan kad pengenalan dan kad kuasa dengan alasan terlupa dan tertinggal.
“Alasan yang diberikan tidak dapat diterima dan penguat kuasa terpaksa mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
JAINJ memberitahu, pemeriksaan mengejut itu untuk memastikan amil zakat fitrah mempunyai tauliah yang sah dari Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan bukan orang lain yang tidak berkenaan.
“Kita juga hendak mengelakkan amil yang asal mewakilkan kepada individu lain seperti imam bertauliah mewakilkan kepada orang lain yang tidak bertauliah.”
Menurut JAINJ, MAINJ mengeluarkan kad kuasa kepada amil yang bertauliah dan amil pula mesti membawa atau menunjukkan kad kuasa ketika memungut fitrah dan bukan disimpan di rumah.
“Sesiapa yang mengutip zakat atau menggantikan amil yang sah boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.
Justeru JAINJ mahu semua amil di negeri ini sentiasa membawa kad pengenalan dan kad kuasa sepanjang menjalankan tugas memungut zakat fitrah.
Penguat kuasa JAINJ akan terus membuat pemeriksaan terhadap amil di masjid, surau, bazar, pasar raya dan tempat lain.
“Tindakan ini bukan untuk menyusahkan sesiapa, tetapi untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” jelasnya.- MalaysiaGazette
















